ABD Aziz  menjahit kasut pelanggan di kaki lima bandar Kuala Krai. sambil diperhatikan seorang pelanggan. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI
ABD Aziz menjahit kasut pelanggan di kaki lima bandar Kuala Krai. sambil diperhatikan seorang pelanggan. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI
Hazira Ahmad Zaidi


Kuala Krai: Selama 42 tahun mencari rezeki sebagai tukang kasut, Abd Aziz Abdullah tidak pernah mengeluh, malah dengan kemahiran itu juga lapan anaknya dibesarkan hingga masing-masing memiliki keluarga sendiri.

Setiap hari, Abd Aziz, 63, akan memandu dari rumahnya di Kampung Kepas, Machang ke bandar ini sejauh 70 kilometer (km) untuk membaiki kasut pelanggan di kaki lima premis perniagaan.

Dia bermula jam 9 pagi hingga 3.30 petang dan mengakui masih melakukan kerja itu pada usia emas kerana tidak mahu menyusahkan anak yang sudah berkeluarga.

"Dalam sebulan saya mampu membaiki sehingga 100 pasang kasut dan selipar dengan bayaran yang dikenakan kepada mereka serendah RM1 hingga RM60 bergantung kepada kerosakan.

"Dalam sehari saya mampu memperoleh upah antara RM20 hingga RM70. Walaupun tidak banyak, rezeki itu tetap ada.

"Sebagai tukang kasut, saya akan puas hati apabila kasut siap dibaiki dengan sempurna dan dikembalikan semula kepada pelanggan dalam keadaan cantik dan elok," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Datuk kepada sembilan cucu itu berkata, dia mempelajari teknik membaiki kasut ketika bekerja di kedai pertukangan kasut yang terletak di Machang sekitar tahun 80-an.

"Menjadi tukang kasut bukan semudah disangka kerana ia perlu ketekunan untuk menghasilkan kerja pembaikan bermutu. Kerja tangan perlukan ketelitian untuk memuaskan hati pelanggan.

"Alhamdulillah, saya bersyukur kerana sejak mencari rezeki sebagai tukang kasut sekitar tahun 1980-an sehingga kini, khidmat saya masih diperlukan termasuklah membaiki kasut Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun)," katanya.

Abd Aziz berkata, dia tidak pernah malu melakukan pekerjaan itu meskipun dilakukan di kaki lima, malah di situlah dia dapat mengenali pelbagai ragam orang dan mengikuti cerita mereka sambil menunggu kasut dibaiki.

"Saya amat berharap dapat memiliki kedai membaiki kasut sendiri suatu hari nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Ogos 2022 @ 6:31 AM