AHMAD Singh  tekun menyiapkan kasut pelanggan di bangsalnya yang terletak di Jalan Pengkalan Chepa.
AHMAD Singh tekun menyiapkan kasut pelanggan di bangsalnya yang terletak di Jalan Pengkalan Chepa.
Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Bumbung zink tempat berteduh dan bangku kayu sebagai alas duduk. Hanya itu kemudahan dimiliki mualaf, Ahmad Singh Abdullah, 55, yang menghabiskan tempoh 37 tahun sebagai tukang kasut.

Cintanya pada kerjaya menyebabkan lelaki itu meneruskan kegiatan berkenaan berhampiran jalan raya di Pengkalan Chepa di sini, setiap Ahad hingga Khamis.

Ahmad Singh atau lebih dikenali dengan panggilan Bakar Kasut dalam kalangan pelanggannya mengakui pengalaman sebagai tukang kasut menyebabkan dia masih bertahan sehingga kini dan menjadi sumber pendapatan utama untuk menyara kehidupan bersama ibunya, Kin Bisan Chen.

Katanya, walaupun pendapatan sebagai tukang kasut tidak menentu, ‘bermain’ dengan kasut kotor yang sudah dipakai pelanggan dianggap sebati selepas memulakan kerjaya itu pada 1981 hingga sekarang.

“Saya mula menjadi tukang kasut ketika berusia 18 tahun dan untuk mahir dalam bidang pertukangan kasut, saya mempelajari teknik jahitan kasut daripada seorang tukang kasut berbangsa Cina pada 1979 dan ketika itu hanya dia memiliki kedai membaiki kasut di Kota Bharu.

Selepas menguasai segala teknik jahitan kasut, saya membaiki kasut di kaki lima sekitar bandar Kota Bharu dan pernah berhijrah ke Selangor serta menjadikan perhentian bas di Klang sebagai lokasi untuk memudahkan orang ramai membaiki kasut mereka yang rosak.

“Namun tidak lama kemudian, saya mengambil keputusan kembali ke negeri kelahiran dan kini membaiki kasut di Jalan Maktab, Pengkalan Chepa sejak lebih enam tahun lalu,” katanya ketika ditemui di kedainya, di sini, semalam.

Walaupun tiada premis perniagaan atau pejabat berhawa dingin dan selesa seperti sesetengah pekerjaan lain, lelaki ini mampu meraih pendapatan bulanan sehingga RM2,000.

Ahmad Singh berkata, dalam sehari dia mampu menjahit sehingga 10 pasang kasut.

Pada Jumaat dan Sabtu pula dia akan membawa balik kasut milik pelanggan untuk dijahit dan disiapkan di rumah.

“Bayaran dikenakan serendah RM6 hingga RM15 bergantung kepada jenis dan kerosakan kasut yang dihantar pelanggan.

“Alhamdulillah, kebanyakan pelanggan yang pertama kali datang ke sini untuk membaiki kasut akan datang semula kerana mereka berpuas hati dengan hasil jahitan tangan saya yang kemas.

“Namun sejak sebulan lalu bangsal membaiki kasut di Pengkalan Chepa diuruskan anak saudara, Goh Ping Heng, 28, yang juga mahir dalam pertukangan kasut sementara saya pula membaiki kasut di Wakaf Bharu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Mac 2018 @ 10:18 AM