Kesungguhan anak Orang Asli yang mahu menjadi contoh kepada masyarakatnya dan mengubah nasib keluarga mendorong Sharmine Silong, 18 (kanan) menyambung pengajiannya di Kolej Komuniti Jelebu. FOTO ABNOR HAMIZAM ABD MANAP
Kesungguhan anak Orang Asli yang mahu menjadi contoh kepada masyarakatnya dan mengubah nasib keluarga mendorong Sharmine Silong, 18 (kanan) menyambung pengajiannya di Kolej Komuniti Jelebu. FOTO ABNOR HAMIZAM ABD MANAP
Abnor Hamizam Abd Manap


Jelebu: Mahu menjadi contoh kepada masyarakat dan mengubah nasib keluarga Orang Asli mendorong remaja, Sharmine Silong, 18 menyambung pengajiannya di Kolej Komuniti Jelebu (KKJU) di sini.

Sharmine adalah satu-satunya anak Orang Asli di daerah ini yang berjaya melanjutkan pengajian di KKJU selepas menghadiri Program Jelajah Pendidikan Keluarga Malaysia Parlimen Jelebu diadakan Sabtu lalu.

Sharmine berkata, dia memilih untuk melanjutkan pengajian dalam program Sijil Pemprosesan dan Kawalan Mutu Makanan.

Mengakui meminati bidang berkaitan makanan, program pengajian yang ditawarkan di KKJU menarik minatnya dan terus mendaftar ketika program dijalankan.

"Saya berharap usaha ini dapat mengubah nasib saya sekeluarga sekaligus memberi contoh kepada masyarakat Orang Asli selain mampu mencipta kejayaan yang membanggakan," katanya.

Ujarnya, ilmu pelajaran yang baik dapat menjamin masa depan sekaligus mengubah taraf kehidupan keluarganya.

Sharmine antara 131 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berjaya menyambung pengajian di KKJU dan hadir pada hari pendaftaran semalam.

Sharmine berkata dia yakin bidang kemahiran yang ditawarkan oleh kolej komuniti setaraf dengan institusi pendidikan kemahiran Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang lain.

Sementara itu, Pengarah KKJU, Ishamuddin Ishak berkata, pihaknya menggalakkan pelajar lepasan SPM untuk mengambil peluang melanjutkan pengajian dalam bidang TVET seperti ditawarkan di KKJU.

Katanya, setiap lapisan masyarakat tanpa mengira kaum berhak untuk mendapatkan peluang melanjutkan pengajian dan KKJU sentiasa bersedia menawarkan kursus-kursus berkaitan sama ada secara sepenuh masa atau kursus pendek.

"Justeru kemasukan Sharmine ke KKJU diharap dapat menjadi titik tolak permulaan agar lebih ramai lagi lepasan SPM dalam kalangan masyarakat Orang Asli memilih bidang TVET untuk melanjutkan pengajian khususnya di KKJU," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Ogos 2022 @ 3:16 PM