KEWUJUDAN pelantar media sosial jalan mudah untuk belia menjana pendapatan. - FOTO Google
KEWUJUDAN pelantar media sosial jalan mudah untuk belia menjana pendapatan. - FOTO Google
Suliati Asri

 

DATA yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) baru-baru ini menunjukkan lebih 72 peratus pelajar memilih untuk tidak melanjutkan pelajaran selepas menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Hal ini pastinya sesuatu yang membimbangkan kerana jika ia berlarutan, boleh menjejaskan perkembangan jangka panjang negara.

Selain itu, menyambung pengajian bukan hanya membabitkan ilmu dan kemahiran semata-mata, tetapi juga dapat membantu pelajar mempelajari kemahiran insaniah yang akan menjadi nilai tambah kepada mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif Giatmara Malaysia Datuk Jabar Azman Jaafar berkata, data yang dikeluarkan itu jelas menunjukkan trend terkini yang didorong pelbagai faktor dan salah satu daripada adalah pandemik Covid-19.

Menurutnya disebabkan pandemik itu ramai dalam kalangan masyarakat yang terkesan, sekali gus menjejaskan sumber pendapatan isi rumah.

"Hal itu menyebabkan ramai pelajar yang mengambil keputusan untuk terus bekerja bagi membantu keluarga.

"Bekerja juga menjadi pilihan kerana memberi pulangan yang cepat. Apatah lagi kos menyambung pengajian yang meningkat kini dibimbangi menjadi beban hutang kelak," katanya.

Kewujudan gig ekonomi baharu juga antara penyebab pelajar tidak melanjutkan pelajaran.

Jabar Azman berkata, antara sebab utama mereka memilih bekerja dalam sektor ekonomi gig kerana gaji lumayan dan waktu kerja fleksibel.

"Belia khususnya lebih gemar untuk bekerja mengikut keselesaan dan tidak terikat pada waktu kerja tertentu.

"Memilih untuk bekerja sebagai pemandu e-hailing atau 'rider' penghantar makanan dilihat tidak memerlukan kelayakan pendidikan yang tinggi dan memberi pulangan yang cepat," katanya.

Media sosial juga dilihat memberi faktor kepada trend ini.

KEMAHIRAN mampu membuka peluang luas kepada pelajar.
KEMAHIRAN mampu membuka peluang luas kepada pelajar.

Kata Jabar Azman, kewujudan peluang menjana pendapatan melalui pelantar media sosial iaitu dengan menjadi pempengaruh (influencer), YouTuber dan TikToker dilihat menjadi jalan mudah untuk menjana pendapatan.

"Dengan membuat kandungan menarik atau menjual barangan di medium ini, ia nampak lebih segar serta lebih 'catchy' sesuai dengan peredaran zaman.

"Malah pulangan yang diperoleh juga agak lumayan berbanding mereka yang mempunyai latar belakang pendidikan," katanya.

Belia sekarang juga percaya bahawa keputusan akademik yang baik tidak menjamin pekerjaan bergaji tinggi.

"Tanggapan itu mungkin didorong lambakan lepasan universiti yang masih tidak bekerja serta kadar gaji yang rendah berbanding taraf pendidikan mereka," tambahnya.

Walaupun pelbagai peluang pekerjaan yang menanti lepasan SPM, namun penting untuk mereka menyambung pengajian supaya membuka peluang pekerjaan lebih luas kelak.

Jabar Azman berkata, tidak kira dalam apa juga bidang, pendidikan di tahap tertinggi mampu memberi kefahaman yang lebih dan meningkatkan kualiti pelajar itu sendiri.

Tambahan pula katanya, kelayakan pengajian tinggi membolehkan pelajar mampu berdaya saing dalam industri di Malaysia berasaskan pengetahuan khusus yang menjurus kepada bidang masing-masing.

"Menyambung pengajian bukan hanya membabitkan ilmu dan kemahiran semata-mata, tetapi juga dapat membantu pelajar mempelajari kemahiran insaniah yang menjadi nilai tambah kepada mereka.

"Kemahiran insaniah ini merangkumi komunikasi yang baik, kerja berpasukan, perundingan, pemikiran kritis dan penyelesaian masalah.

"Setiap satunya boleh memberi nilai tambah kepada pekerjaan masa hadapan terutama dalam industri yang diceburi," katanya.

Mengulas mengenai kesan terhadap pengurangan peratusan pelajar tidak penyambung pengajian ini kepada negara dan komuniti, Jabar Azman meluahkan kebimbangan mengenai trend itu.

Ini kerana menurutnya, jika trend itu berterusan ia akan menjejaskan perkembangan jangka panjang negara.

"Malaysia akan terkesan dengan kekurangan pekerja yang berkualiti kerana tahap pendidikan tinggi memberi impak kepada pengkhususan bidang tertentu. Kekurangan pekerja mahir juga jelas mampu menjejaskan produktiviti negara.

"Lebih membimbangkan jika trend gig ekonomi baharu ini dan penjualan dalam talian atau media sosial bersifat sementara atau mereka gagal untuk 'survive.'

"Pelajar yang tidak menyambung pelajaran kerugian masa dan menghadapi kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan dengan kelulusan yang rendah," katanya.

Justeru, sudah tiba masanya pihak berwajib terutama institusi pendidikan lebih kreatif dalam penawaran pengajian, sekali gus menarik minat pelajar menyambung pengajian.

Mungkin boleh mencadangkan beberapa pilihan, termasuk mengurangkan kadar yuran, menawarkan kursus jangka pendek dan lebih fleksibel serta menawarkan kursus sijil atau diploma bersesuaian dengan sektor ekonomi gig.

Ia bagi menarik minat lepasan SPM melanjutkan pelajaran dan pembabitan dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) juga adalah salah satu pilihan.

Kata Jabar Azman, TVET adalah salah satu proses pendidikan dan latihan yang mempunyai hala tuju pekerjaan dengan penekanan utama terhadap amalan industri.

"Biasanya pembelajaran kemahiran ini bersifat praktikal dan pelajar akan menjadi mahir sepanjang pembelajaran.

"Justeru, bagi pelajar yang mengikuti atau memilih bidang TVET ini lebih fokus kepada pekerjaan selepas tamat latihan," katanya.

Dengan menyertai TVET, kata Jabar Azman, ramai yang sudah mengecapi pelbagai kejayaan.

MENYAMBUNG pengajian bukan hanya membabitkan ilmu dan kemahiran, tetapi dapat membantu pelajar mempelajari kemahiran insaniah.
MENYAMBUNG pengajian bukan hanya membabitkan ilmu dan kemahiran, tetapi dapat membantu pelajar mempelajari kemahiran insaniah.

"Penekanan kepada praktis industri membuatkan mereka kekal relevan dan sering mendapat permintaan tinggi.

"Ramai juga yang berjaya menjadi usahawan jutawan berbekalkan ilmu kemahiran TVET ini," katanya.

Bagi lepasan yang mungkin tidak minat melanjutkan pelajaran kerana tempoh pengajian yang lama, dengan 231 pusat latihan di seluruh negara, Giatmara menawarkan lebih 100 kursus 'short-cycle' bidang kemahiran daripada 12 kluster latihan dengan tempoh pengajian antara tiga hingga 24 bulan.

Jabar Azman berkata, konsep latihan kemahiran adalah melalui kaedah 'Community Engagement' iaitu latihan berbentuk perkhidmatan sebenar kepada masyarakat.

"Sebagai contoh, program latihan yang ditawarkan adalah secara percuma dengan syarat kelayakan kemasukan mudah serta pendekatan 'Simple and Flexible' yang dikendalikan secara 80 peratus praktikal dan 20 peratus teori adalah keunikan program latihan di Giatmara.

"Strategi pendekatan yang dilaksanakan Giatmara adalah melalui Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) dan Program Pembangunan Usahawan Teknikal.

"Strategi ini mampu mencungkil potensi individu yang belum berada dalam pasaran kerja menerusi pelbagai peluang meningkatkan kemahiran di samping memupuk minat dan menyemai bakat untuk kehidupan yang lebih bermakna," katanya.

Diminta mengulas langkah yang diambil Giatmara dalam menarik minat lepasan SPM untuk melanjutkan pelajaran, kata Jabar Azman, pihaknya sentiasa mengkaji kursus yang sering menjadi permintaan semasa.

Katanya, kursus sedia ada diberi nilai tambah dengan modul terkini seiring dengan kehendak pasaran dan mencari kesesuaian dengan gig ekonomi baharu dengan melengkapkan setiap pelatih dengan pengetahuan digital selain dari ilmu kemahiran yang dipelajari.

"Kita mungkin boleh melengkapkan pekerja sektor e-hailing atau 'rider' penghantar makanan dengan ilmu kemahiran penjagaan kenderaan atau kemahiran lain sesuai dengan masa dan keperluan mereka.

"Kita juga boleh cadangkan kelas berkala dalam tempoh singkat bagi satu-satu modul supaya mereka boleh belajar kemahiran di Giatmara dan dalam masa sama bekerja mencari sumber pendapatan," katanya.

"Giatmara juga akan terus meningkatkan kerjasama dengan industri. Selain perkongsian teknologi, kerjasama ini mampu memberi jaminan pekerjaan atau 'job placement' kepada lepasan Giatmara," katanya.

Bagi menyuburkan minat terhadap TVET dari awal, Giatmara juga memperkenalkan TVET Junior untuk memberi asas pengetahuan dan latihan teknikal kepada belia di bawah 15 tahun.

Ini mampu memupuk minat dan menjadikan TVET sebagai destinasi pilihan utama bagi pembangunan kerjaya masa hadapan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 September 2022 @ 7:00 AM