EKSPO Pendidikan Tinggi 2019  berlangsung pada 3 dan 4 Ogos di Pusat Pameran Mid Valley.
EKSPO Pendidikan Tinggi 2019 berlangsung pada 3 dan 4 Ogos di Pusat Pameran Mid Valley.
Nabil Basaruddin


KUALA LUMPUR: Ekspo Pendidikan Tinggi 2019 yang berlangsung pada 3 dan 4 Ogos ini menawarkan peluang kepada individu berminat menyambung pengajian bermula dari peringkat sijil hingga Doktor Falsafah.

Ekspo diadakan di Pusat Pameran Mid Valley dari jam 11 pagi hingga jam 7 malam itu bukan saja sesuai untuk lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) malah turut membuka peluang kepada mereka yang bekerjaya untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Penasihat ekspo, Datin Jercy Choo berkata, ekspo ini diadakan khas untuk lepasan SPM, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), ibu bapa, guru, pelajar universiti, golongan bekerja, ahli industri dan orang awam yang mencari peluang pendidikan tinggi.

“Ia satu peluang tidak boleh dilepaskan untuk mereka yang mencari peluang melanjutkan pengajian praijazah dan pascaijazah.

“Ekspo ini dapat memberikan jawapan kepada semua pertanyaan anda mengenai kolej dan universiti terbaik, bidang, biasiswa serta peluang kerjaya,” katanya.

Menurutnya, pengunjung juga boleh mendapatkan nasihat terbaik daripada ahli pendidikan dan kaunselor berkaitan jenis kursus serta bidang akademik yang boleh didapati di Malaysia dan di luar negara.

“Terdapat lebih 200 insitusi, kolej dan universiti menyertai ekspo ini,” katanya.

Choo berkata, pengunjung juga boleh meneroka bidang baru yang ditawarkan di institusi pengajian tinggi bagi memberi gambaran lebih jelas berkaitan sektor pendidikan tinggi.

“Bidang seperti pendidikan awal kanak-kanak, kru kabin atau kaunseling aptitud antara kursus baru ditawarkan.

“Namun, kursus seperti pengurusan hotel, perakaunan, penerbangan, juruterbang, bakeri, masakan, kecantikan, pengajian perniagaan, penyiaran atau undang-undang masih boleh didapati di ekspo ini,” katanya.

Selain itu, katanya, pengunjung juga berpeluang mendapatkan khidmat nasihat biasiswa dan program subsidi bayaran oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Julai 2019 @ 8:09 AM