ZULKIFLI akan menjalani PET Scan di IKN esok. FOTO ihsan Zulkifli Ainul Mokhsein
ZULKIFLI akan menjalani PET Scan di IKN esok. FOTO ihsan Zulkifli Ainul Mokhsein
Redzuan Muharam


Cyberjaya: "Buat masa ini, saya okay cuma sel barah aktif semula dan kemungkinan ada ketumbuhan baru pada hati," kata Orang Kurang Upaya (OKU) pendengaran dan bisu serta penghidap barah limfoma, Zulkifli Ainul Mokhsein.

Zulkifli, 34, yang menetap di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Setia Indah, Johor Bahru, Johor memberi reaksi itu ketika diminta berkongsi perkembangan terkininya yang bakal menjalani Positron Emission Tomography (PET Scan) di Institut Kanser Negara (IKN), di sini, esok.

Menurutnya, barahnya masih ada cuma dulu ketumbuhan ada di leher tetapi kini kemungkinan merebak ke bahagian hati.

Zulkifli yang baru tiba di sini kira-kira jam 5 petang tadi selepas bertolak dari Johor Bahru berkata, dia akan menjalani PET Scan bagi memeriksa adanya ketumbuhan pada hati atau tidak.

"Sebelum ini, saya ada menjalani rawatan kemoterapi di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.

"Esok, saya diminta ke IKN Putrajaya untuk melakukan PET Scan bagi memeriksa secara terperinci dan mujurlah kosnya ditanggung oleh kerajaan.

"Cuma, yang merisaukan saya adalah kerana hanya berbekalkan sedikit wang saja untuk ke IKN Putrajaya.

"Jadi, risau pula memikirkan kos penginapan di homestay (inap desa) di sini dan tol untuk pulang semula ke Johor Bahru nanti kerana memang tiada wang simpanan lain," katanya menerusi kiriman WhatsApp kepada Harian Metro.

Dia berkata, buat masa ini, dia ada menerima elaun bulanan sebanyak RM450 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) namun jumlah itu tidak mencukupi memandangkan dia dan isteri, Siti Nuratikah Mohd Suhaimi, 29, tidak bekerja.

"Saya mahu bekerja tetapi kesihatan tidak mengizinkan manakala isteri buat masa ini menjadi suri rumah sepenuh masa kerana perlu menguruskan saya selain menjaga tiga anak kami yang masih kecil.

"Kiranya, kami memang bergantung sepenuhnya dengan bantuan bulanan daripada JKM dan ia tidak cukup kerana kami bukan hanya perlu membeli barangan keperluan rumah.

"Sebaliknya, kami perlu bersiap sedia dengan kewangan untuk keperluan anak sulung yang kini sudah bersekolah rendah jadi runsing juga apabila tiada sumber pendapatan dan ikutkan saya enggan meminta-minta cuma terpaksa," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan kisah Zulkifli yang menderita akibat barah limfoma tahap empat dan pernah tiga kali diserang penyakit berkenaan dengan yang terbaru pada Oktober tahun lalu.

Berikutan itu, dia tidak dapat bekerja dan perlu menjalani enam sesi rawatan kemoterapi.

Orang ramai yang berhasrat membantu Zulkifli boleh menghubunginya di talian 013-7428343 atau menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank bernombor 101280031978 atas nama Zulkifli Ainul Mokhsein.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Ogos 2022 @ 9:16 PM