Zulkifli (kiri) ketika sihat bersama Siti Nuratikah (tiga kiri) dan anak mereka. FOTO ihsan Zulkifli Ainul Mokhsein
Zulkifli (kiri) ketika sihat bersama Siti Nuratikah (tiga kiri) dan anak mereka. FOTO ihsan Zulkifli Ainul Mokhsein
Redzuan Muharam


Johor Bahru: "Saya anggap penyakit ini sebagai ujian daripada Allah cuma tetap berdoa dan berharap diberi kesembuhan," kata Orang Kurang Upaya (OKU) pendengaran dan bisu serta penghidap barah limfoma, Zulkifli Ainul Mokhsein.

Bukan sekali namun tiga kali Zulkifli, 34, yang menetap di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Setia Indah, di sini diserang barah limfoma.

Penyakit itu kini berada di tahap empat dan berikutan masalah kesihatan, Zulkifi tidak dapat mencari rezeki bagi menyara keluarga.

Bercerita lanjut, Zulkifli berkata, penyakit barah limfoma menyerang semula Oktober tahun lalu dan ia menyebabkannya terpaksa menjalani pembedahan.

Dia ditahan sebulan di wad hospital dan perlu menjalani enam sesi rawatan kemoterapi.

"Saya bisu dan ada masalah pendengaran sejak lahir lagi, sudah berkahwin dengan pasangan OKU kategori sama dan mempunyai tiga anak berumur enam, tiga serta lima bulan.

"Saya pernah bekerja sebagai pemandu lori namun terpaksa berhenti selepas disahkan menghidap barah limfoma tiga tahun lalu.

"Puas saya berusaha cari pekerjaan lain namun tidak berjaya dan akhirnya cuba berniaga pisang goreng tetapi berhenti kerana isteri bersalin.

"Oleh kerana kos berniaga pisang goreng mahal, saya cuba jual sate pula di pusat bandar raya tetapi tidak bertahan kerana jualan tidak menentu.

"Saya juga tidak mampu membayar sewa tapak RM100 seminggu yang tetap perlu dibayar walaupun cuti selain gaji pekerja sebanyak RM35 hingga RM40 sehari dan upah tukang sapu RM6 sehari," katanya katanya ketika dihubungi Harian Metro menerusi WhatsApp.

Menurut Zulkifli, isterinya, Siti Nuratikah Mohd Suhaimi, 29, dulu bekerja namun berhenti selepas melahirkan anak bongsu dan yang membimbangkannya adalah bagaimana mencari wang bagi menampung keperluan keluarga.

Biarpun ada menerima bantuan bulanan sebanyak RM450 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Zulkifli mengakui jumlah diterima tidak cukup.

"Setiap bulan, saya memerlukan sekurang-kurangnya RM350 untuk membeli lampin pakai buang dan susu untuk anak bongsu yang masih bayi serta barang dapur.

"Itu belum termasuk sewa bulanan rumah sebanyak RM250 dan buat masa ini, saya gunakan elaun bulanan JKM untuk membayarnya kerana tidak mahu ada tunggakan.

"Bulan depan, anak sulung saya mahu mendaftar masuk sekolah dan runsing memikirkan bagaimana mencari wang untuk membeli keperluannya," katanya yang menjalani rawatan kemoterapi di Hospital Sultanah Aminah, di sini.

Zulkifli berkata, tiada apa yang diharapkan melainkan diberi kesembuhan dan kesihatan untuk kembali bekerja.

"Saya mahu sembuh kerana jika sihat, saya dapat bekerja semula.

"Lagipun, saya ketua keluarga jadi menjadi tanggungjawab saya untuk menyara anak dan isteri walau dalam apa jua keadaan sekalipun," katanya.

Orang ramai yang berhasrat membantu meringankan beban Zulkifli sekeluarga boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun Affin Islamic Bank 10528 0004378 atas nama Media Prima-NSTP Humanitarian Fund (Metro Prihatin) atau cek kepada Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan Media Prima Berhad di Balai Berita.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Februari 2022 @ 10:49 AM