Zulkifli menghidap barah limfoma tahap empat.
Zulkifli menghidap barah limfoma tahap empat.
Redzuan Muharam


Putrajaya: "Saya sudah lima tahun berjuang melawan barah, jadi enggan lagi bersedih. Kalau boleh tak mahu fikir (apa-apa) kerana nak lawan penyakit ini," kata penghidap barah limfoma, Zulkifli Ainul Mokhsein.

Zulkifli, 35, yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) bisu dan pendengaran diuji dengan barah limfoma tahap empat.

Dia dimasukkan ke Institut Kanser Negara (IKN), di sini kelmarin bagi menjalani Positron Emission Tomography (PET Scan) dan CT Scan (pengimbasan tomografi berkomputer) bagi pemeriksaan di seluruh tubuhnya.

Katanya, kitaran kedua rawatan kemoterapi sudah berakhir jadi pemeriksaan itu perlu dilakukan bagi memastikan tiada sel barah di dalam badannya.

"Jika ada lagi ketumbuhan maka kena ikut saranan doktor sama ada mahu teruskan rawatan kemoterapi atau tidak.

"Ikutkan, banyak sudah saya lalui sepanjang diuji dengan penyakit antaranya tidak dapat bekerja bagi menyara keluarga kesan kemoterapi serta pinggang lemah.

"Biarpun dapat bantuan namun ia tidak cukup hingga saya terfikir baru-baru ini untuk menjual kereta kerana buntu cari sumber kewangan.

"Lagipun, kereta itu banyak 'meragam' dan perlukan kos banyak untuk hantar ke bengkel apabila ada kerosakan," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Bagaimanapun, ujian dan pengalaman dilalui itu yang banyak mengajar serta mematangkannya.

"Selain isteri (Siti Nuratikah Mohd Suhaimi, 30), saya ada tiga anak masih kecil berumur tujuh, empat dan dua tahun.

"Jadi, sebelum nak putus asa, saya akan fikirkan anak dahulu malah cuba semat dalam minda yang Allah sayang orang sakit, saya perlu menang dan jangan kalah dalam pertarungan melawan penyakit itu," katanya.

Zulkifli yang menetap di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Setia Indah, Johor Bahru, Johor itu berharap ada keajaiban untuknya sembuh.

"Saya mahu sihat supaya boleh bekerja semula bagi menjalankan tanggungjawab sebagai ketua keluarga.

"Tak sanggup rasanya nak meminta-minta tetapi buat masa ini, saya terpaksa kerana tiada sumber pendapatan tetap," katanya yang berharap orang ramai dapat membantu menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank bernombor 101280031978

atas nama Zulkifli Ainul Mokhsein atau menghubunginya di talian 013-742 8343.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 January 2023 @ 10:22 PM