ZULKIFLI Ainul dan isteri, Siti Nuratika bersama tiga anak mereka. FOTO ihsan Zulkifli Ainul Mokhsein
ZULKIFLI Ainul dan isteri, Siti Nuratika bersama tiga anak mereka. FOTO ihsan Zulkifli Ainul Mokhsein
Redzuan Muharam


Johor Bahru: "Tolong doakan saya sembuh sepenuhnya namun andai kata umur saya tak panjang, tolong jaga isteri saya dan anak saya."

Itu permintaan Orang Kurang Upaya (OKU) bisu dan pendengaran, Zulkifli Ainul Mokhsein, 36.

Besarnya ujian Zulkifli dan isterinya, Siti Nuratika Mohd Suhaimi, 32, dari Taman Setia Indah, di sini kerana mereka berdua bukan hanya berstatus OKU malah turut dihimpit masalah kewangan serta penyakit yang menyukarkan usaha mencari rezeki.

Zulkifli disahkan menghidap barah limfoma sejak enam tahun lalu dan sudah 46 kali menjalani rawatan kemoterapi.

Isterinya, Siti Nuratika, 32, juga OKU pendengaran pula diuji dengan sista ovari (cyst) iaitu kantung atau poket yang dipenuhi dengan cecair sejak tiga bulan lalu.

Lebih berat lagi apabila Siti Nuratika yang kini hamil lima bulan dan perlu melawan penyakit serta pada masa sama menjaga anak dalam kandungan.

Kini, tiada siapa yang dapat mereka harapkan melainkan satu sama lain kerana tiga anak mereka baru berumur tiga, lima dan lapan tahun.

"Tak tahu berapa kali lagi nak buat (rawatan), terserah kepada Tuhan. Saya mampu doa kerana tak tahu nak tuju mana lagi.

"Mahu atau tidak, saya kena dengar cakap doktor pakar. Cuma walaupun ada penyakit, saya dan isteri bersama usaha jaga anak kerana tak nak susahkan sesiapa.

"Saya uruskan hantar isteri pergi klinik jika ada temujanji dengan dan bila tiba giliran saya (temujanji dengan doktor), saya gagahkan diri pandu kereta sendiri ke hospital," katanya ketika dihubungi menerusi WhatApps.

Zulkifli berkata, dia mendapat bantuan daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

"Pada 20 Mei depan, saya akan ke hospital untuk temujanji dan mungkin akan dapat tarikh untuk rawatan kemoterapi berikutnya.

"Buat masa ini, badan masih lemah dan pinggang pun kebas tapi cuba bertahan," katanya.

Sementara itu, Siti Nuratika berkata, dia dan suami mencari rezeki dengan menjual pisang goreng di gerai dekat Bukit Mutiara, Bandar Dato' Onn, di sini.

Katanya, sebelum hamil, keadaannya stabil namun sekarang sakit dialami semakin terasa apabila tidak boleh jalan lama dan angkat berat.

"Badan jadi lemah sampai nak berniaga pun tak kuat. Risau juga jika cyst membesar dan tiada pilihan melainkan buat pembedahan.

"Walaupun sakit, saya belum sampai tahap putus asa kerana mengenangkan anak. Cuma terfikir juga jika meninggal dunia nanti macam mana dengan anak kerana suami pun sakit barah," katanya

Menurut Siti Nuratika, suaminya ada menerima bantuan bulanan daripada Baitulmal sebanyak RM400 dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sejumlah RM450 namun jumlah diterima itu masih tidak mencukupi.

Katanya, mereka juga cuba memohon bantuan individu terdekat namun tidak boleh terlalu mengharap kerana setiap orang mempunyai masalah sendiri.

"Jadi kepada Allah SWT kami mohon pertolongan dengan harapan dipermudahkan urusan dan dihapuskan penyakit walaupun tahu sakit itu tanda kasih sayangNya.

"Sedih kerana sekarang pun kesempitan wang sampai nak niaga pun kena kira duit syiling dalam simpanan," katanya yang mengharap sokongan orang ramai terhadap perniagaan pisang gorengnya.

Orang ramai yang berhasrat menghulurkan sumbangan boleh berhubung dan menghantar kiriman WhatsApp kepada Zulkifli di talian 013-7428343 atau Siti Nuratika di talian 019-8968525.

#kw oku, masalah, pendengaran, isteri, penyakit, anak, johor bahru, johor

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mei 2024 @ 4:33 PM