GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Kerajaan bersedia mempertimbangkan cadangan membenarkan semula eksport ayam ke luar negara memandangkan bekalan sudah pulih di pasaran dalam negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu akan dibentangkan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee di Kabinet, minggu depan.

Menurutnya, kerajaan sebelum ini menerima permohonan daripada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) serta penternak untuk membenarkan eksport ayam.

"Datuk Seri Ronald akan bentangkan secara lengkap berapa jumlah pengeluaran bulan depan, adakah akan memberi kesan kalau kita lepaskan eksport. Kita bimbang nanti buka eksport membabitkan 3.6 juta ekor sebulan akan memberi kesan kepada bekalan dalam negara.

"Apabila bekalan kurang, harga mesti naik kerana permintaan melebihi bekalan. Sebab itu saya minta Mafi tengok secara lengkap daripada segi unjuran pengeluaran ayam untuk bulan depan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan di Pavilion Pahang pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (Maha) 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) di sini, hari ini.

Turut hadir Dr Ronald.

Pada 23 Mei lalu, Ismail Sabri mengumumkan pemberhentian eksport 3.6 juta ayam sebulan bermula 1 Jun.

Tindakan terbabit diputuskan Kabinet yang berkuat kuasa hingga harga dan pengeluaran ayam tempatan kembali stabil dengan memberi keutamaan memenuhi keperluan rakyat.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, sebarang keputusan kerajaan adalah mengutamakan kepentingan rakyat selain mengambil kira pihak lain.

"InsyaAllah kita akan tengok secara kepentingan semua pihak. Daripada segi pemborong, penternak asalkan jangan memberi kesan kepada kepentingan rakyat, itu paling penting," katanya.

Sementara itu, beliau turut mengarahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyenaraikan barangan yang sudah turun harga dan belum turun harga.

Katanya, ia membolehkan kerajaan memberi fokus untuk menurunkan harga barang bagi menjamin keselesaan rakyat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Ogos 2022 @ 5:42 PM