Harga ayam segar di Johor Bahru melonjak kepada RM12 sekilogram (kg). FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Harga ayam segar di Johor Bahru melonjak kepada RM12 sekilogram (kg). FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Mulai 1 Julai ini, kerajaan memansuhkan subsidi penternak ayam sebaliknya subsidi akan diberikan kepada rakyat yang memerlukan khususnya golongan B40.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan akan memperkenalkan sumbangan kewangan terus kepada golongan B40 akibat kenaikan harga barang.

Katanya, langkah ini diputuskan bagi mengurangkan bebanan rakyat supaya tidak terlalu terkesan dengan kenaikan harga barang.

"Di Malaysia ini harga apa pun naik, jangankan harga ayam. Kalau dibiarkan harga diapung, harga ayam ketika ini boleh mencecah RM12 sekilogram tetapi dalam usaha untuk pastikan rakyat tidak terbeban, kerajaan beri subsidi kepada penternak untuk kekal harga sebanyak RM8.90. Untuk ini kerajaan berbelanja sebanyak RM720 juta.

"Namun, ramai penternak tidak menuntut subsidi diberikan sebaliknya pelbagai isu dibangkitkan, oleh itu mulai 1 Julai nanti, kita tidak lagi akan berikan subsidi kepada penternak tetapi jumlah itu akan diberikan terus kepada rakyat memerlukan," katanya sempena Konvensyen BN di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Katanya, perincian pemberian subsidi berkenaan akan diumumkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) dalam masa terdekat.

Ismail Sabri berkata, kerajaan menubuhkan tabung agromakanan sebanyak RM500 juta dalam bentuk pinjaman mudah serta mengenal pasti pertubuhan peladang dan koperasi untuk dibantu dari segi kewangan.

"Kerajaan juga sedang mengkaji insentif cukai untuk diberikan kepada pemain industri agromakanan. Kerajaan akan mewujudkan stok penimbal bagi ayam, daging dan ikan.

"Kerajaan juga menyekat eksport ayam sebanyak 3.6 juta ekor ayam sebulan ke luar negara kerana yang penting adalah rakyat kita," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Jun 2022 @ 6:04 PM