Siti Rohana Idris


Tumpat: Penghantaran pelajar di bawah tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) untuk melanjutkan pengajian ke luar negara tetap diteruskan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kerajaan mempunyai dana yang mencukupi untuk pendidikan meskipun berdepan dengan situasi ekonomi yang tidak menentu.

"Kita akan teruskan hantar pelajar Malaysia ke luar negara yang mendapat tajaan Mara, tiada tekanan.

"Setiap tahun apabila buat bajet, memang letak siap-siap untuk pendidikan, jadi tak perlu susah hati," katanya ketika sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan Program Bekwoh Keluarga Malaysia Rakyat Tumpat dan Agihan Zakat FELCRA Berhad di Pantai Geting, di sini.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha KPLB, Mas Rizal Mohd Helmi, Pengerusi Felcra Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Datuk Mohamad Yasid Bidin dan Ketua Pegawai Eksekutif Felcra, Datuk Mat Roni Zakaria.

Mahdzir berkata, polisi Mara menghantar pelajar tajaannya ke luar negara adalah berdasarkan bidang tumpuan dan pemilihan pelajar pula berdasarkan kesesuaian semasa.

Katanya, Mara turut memilih universiti terkemuka yang berada dalam senarai tangga 50 ternama di dunia.

"Hari ini orang bercakap pasal teknologi digital, perubahan iklim, tenaga lestari, kecerdasan buatan (AI) dan ini antara bidang yang diberi tumpuan selain bidang sedia ada seperti kejuruteraan serta aeroangkasa," katanya.

MAHDZIR ketika berucap ketika perasmian majlis. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
MAHDZIR ketika berucap ketika perasmian majlis. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Ogos 2022 @ 7:30 PM