Muhammad Yusri Muzamir

Kuala Lumpur: Malaysia ketika ini menjana hampir 38,000 tan metrik sisa pepejal sebulan dengan 45 peratus daripadanya adalah sisa makanan, kata Datuk Seri Reezal Merican Naina Meerican.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata, sisa makanan merangkumi dua kategori iaitu sisa masih boleh dimakan (edible waste) dan tidak boleh dimakan (non edible waste).

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas, antara lain mengakui keadaan itu menjadi cabaran utama bagi kementeriannya, terutama membabitkan isu rawatan sisa pepejal, khususnya sisa makanan.

Sehubungan itu, katanya, hala tuju baharu pengurusan sisa pepejal sedang dirangka dengan fokus akan diberi untuk menjalin kerjasama bersama beberapa pihak bagi tujuan demikian.

Berdasarkan laporan Future Institute dikeluarkan Australia, sisa makanan boleh dimakan dijana di negara ini dicatatkan pada kadar lapan peratus.

"Saya rasa inisiatif pernah dibuat kerajaan terdahulu iaitu 'food security' (keselamatan makanan) ketika itu oleh Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail boleh digunakan untuk kerjasama rentas bagi mengurangkan sisa makanan.

"Ia sekali gus menjadikan pengurusan sisa pepejal (mampu) diuruskan secara lestari," katanya ketika menjawab soalan tambahan Che Alias Hamid (PAS-Kemaman) mengenai usahasama mewujudkan teknologi pengkomposan bagi mengelak isu pembaziran pada sesi lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Menjawab soalan asal, Reezal Merican berkata, kementeriannya kini di peringkat akhir untuk mengemukakan dasar dan halatuju baharu pengurusan sisa pepejal negara dengan visi yang jelas.

Beliau berkata, ia bagi mempercepat peralihan daripada konsep pengurusan sisa pepejal secara ekonomi linear kepada ekonomi kitaran, seperti digariskan dalam Bab 8 Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).

Katanya, pelaksanaan ekonomi kitaran itu berupaya meningkatkan nilai keseluruhan rantaian pengurusan sisa pepejal, termasuk sisa makanan yang akan mengurangkan penghantaran sisa ke tapak pelupusan.

GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP

Semakan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) dibuat bagi mengukuhkan elemen ekonomi kitaran secara keseluruhan dengan penguatkuasaannya ketika ini mencakupi semua jenis sisa pepejal terkawal, termasuk sisa makanan.

"Namun, pelaksanaannya terhad kepada sektor isi rumah dan pembinaan serta industri, komersial dan institusi (ICI) di tujuh negeri menerima Akta 672 sahaja, selain tidak merentasi semua sektor pembuatan makanan atau industri makanan secara keseluruhannya.

"Kementerian memberi tumpuan dan mengkaji kaedah memantapkan lagi pengurusan sisa makanan supaya lebih sistematik dan dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

"Sebagai permulaan, kita dengan kerjasama Kementerian Alam Sekitar Jepun sedang membangunkan garis panduan pengurusan sisa makanan, selain mencontohi kejayaan negara berkenaan mewujudkan perundangan khusus, menyokong pengurusan sisa makanan lestari," katanya.

Mengenai soalan tambahan Nor Azrina Surip (PKR-Merbok), beliau berkata, konsep pengurusan sisa pepejal secara ekonomi kitaran akan membentuk kitaran semula dari 'cradle to cradle'.

Beliau berkata, sisa makanan adalah sisa organik yang boleh melalui banyak proses, antaranya menggunakan pencerna anaerobik bagi menghasilkan biogas untuk sumber elektrik, manakala residualnya boleh digunakan sebagai biobaja.

"Namun, ketika ini tiada pelaburan (mengenainya) dan kita membuka pintu seluas-luasnya. Kita ketika ini ada dua usul yang sedang diperhalusi. Tahap kitar semula akan meningkat dan agenda sifar sisa ke tapak pelupusan dapat dilaksanakan, jika ia berlaku.

"Paling penting, kerajaan akan menurunkan perbelanjaan dan menjadikan pengurusan jauh lebih lestari," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Ogos 2022 @ 1:48 PM