Timbalan Ketua Pengarah Operasi Alamflora, Raja Kamal Azizol Ibrahim (kanan), menyampaikan tong minyak masak terpakai kepada peniaga bazar PPR Beringin pada program agihan bubur percuma dan tong minyak masak terpakai sempena kempen 'Love Food Hate Waste'.  FOTO SAIFULLIZAN TAMADI.
Timbalan Ketua Pengarah Operasi Alamflora, Raja Kamal Azizol Ibrahim (kanan), menyampaikan tong minyak masak terpakai kepada peniaga bazar PPR Beringin pada program agihan bubur percuma dan tong minyak masak terpakai sempena kempen 'Love Food Hate Waste'. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI.
Hajar Umira Md Zaki


Kuala Lumpur: Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora) mencatatkan peningkatan hampir 20 peratus kutipan sisa pepejal sepanjang Ramadan dengan mengumpul 33,000 tan sehingga 20 Ramadan lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora Datuk Mohd Zain Hassan berkata, jumlah itu lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lalu yang mencatatkan 27,000 tan kutipan sisa pepejal.

Menurutnya, keadaan ini mencetuskan kebimbangan berikutan bakal mengurangkan jangka hayat tapak perlupusan serta peningkatan gas methana yang memudaratkan.

"Makanan tidak dihabiskan atau diusik yang dijual di bazar Ramadan merupakan antara penyumbang utama kepada peningkatan kutipan sisa di bulan Ramadan selain bungkusan makanan daripada bahan plastik.

"Antara salah satu penyebab peningkatan ini adalah pembukaan bazar Ramadan yang mana kita dapat lihat bazar Ramadan tidak dibuka pada tahun lalu.

"Dengan adanya penjualan makanan yang banyak, ada kemungkinan masyarakat membeli makanan dengan cara berlebihan," katanya ketika berucap di Program Agihan Bubur Lambuk 'Love Food Hate Waste' di Surau Juma'at Al-Hikmah, Projek Perumahan Rakyat Beringin, di sini, hari ini.

Mohd Zain juga tidak menolak kemungkinan peningkatan sisa berpunca daripada lebihan makanan di buffet hotel dan restoran.

Beliau berkata, menerusi program 'Love Food Hate Waste, Alam Flora berharap dapat memupuk kesedaran masyarakat untuk sentiasa berhemah dalam apa cara termasuklah dalam urusan pembelian makanan.

"Alam Flora menggalakkan penggunaan semula bekas makanan yang dibawa sendiri ke bazar Ramadan bagi mengurangkan pembuangan sampah di samping mengelakkan pembelian secara berlebihan.

"Kami berharap agar usaha kecil ini akan menjadi pencetus anjakan tabiat membeli-belah yang lebih positif terhadap alam sekitar apabila kita menyahkan penggunaan plastik sekali guna ini sepenuhnya," katanya.

Di program itu, selain mengagihkan bubur lambuk, Alam Flora juga menyerahkan 25 tong untuk mengisi minyak terpakai kepada peniaga bagi membolehkan mereka mengumpul minyak masak yang sudah digunakan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Mei 2021 @ 6:06 PM