Anggota penguatkuasa Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) memeriksa kandungan dalam tong sampah pada hari pertama pelaksanaan peraturan Pengasingan Sisa Pepejal di Punca (SAS) di Presint 8, Putrajaya, hari ini. - Foto Bernama
Anggota penguatkuasa Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) memeriksa kandungan dalam tong sampah pada hari pertama pelaksanaan peraturan Pengasingan Sisa Pepejal di Punca (SAS) di Presint 8, Putrajaya, hari ini. - Foto Bernama
Nursyahirah Marzuki


Putrajaya: Hanya 10 peratus daripada 80,000 penduduk di sini, tidak mematuhi arahan pengasingan sisa pepejal di sumber sejak ia mula dikuatkuasakan 1 September tahun lalu.

Pegawai Penguatkuasa Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Putrajaya Muhammad Fahmi Hashim berkata, ia menunjukkan tahap kesedaran dan penerimaan baik masyarakat setempat terhadap pelaksanaan itu.

Beliau berkata, sehingga semalam pihaknya mengeluarkan sebanyak 326 surat peringatan mesra kepada premis kediaman yang gagal melakukan pengasingan sisa pepejal.

"Surat peringatan mesra itu bertujuan mendidik mengenai kewajipan mengasingkan sisa pepejal dalam kalangan pemilik premis yang gagal mematuhi Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).

"Kita akan melakukan pemantauan secara berkala dan jika premis berkenaan masih tidak melakukan pengasingan sisa pepejal, mereka akan dikenakan kompaun atau tindakan mahkamah," katanya selepas membuat penguatkuasaan sisa pepejal di kawasan perumahan Presint 8 di sini, hari ini.

Kira-kira 30 anggota penguat kuasa yang menyertai operasi pelaksanaan penguatkuasaan hari ini, memeriksa tong sampah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi memastikan pemilik premis mematuhi peraturan ditetapkan.

Mulai 1 September 2015, semua premis perumahan di negeri yang menerima pakai Akta 672 iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya, Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perlis dan Kedah, diwajibkan mengasingkan sisa pepejal sebagai langkah menggalakkan amalan kitar semula di negara ini.

Namun, mulai hari ini, kompaun RM50 akan dikenakan terhadap mereka yang gagal melaksanakan arahan itu bagi kesalahan pertama manakala kompaun bagi kesalahan kedua ialah RM100 dan RM200 bagi kesalahan ketiga.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Jun 2016 @ 9:22 PM