KESEDARAN dan kerjasama masyarakat dalam pengurusan sisa pepejal perlu ditingkatkan.
KESEDARAN dan kerjasama masyarakat dalam pengurusan sisa pepejal perlu ditingkatkan.
AMALAN pengasingan sisa pepejal menjamin kebersihan. FOTO: Zulfadhli Zulkifli
AMALAN pengasingan sisa pepejal menjamin kebersihan. FOTO: Zulfadhli Zulkifli

KESEDARAN dan kerjasama masyarakat terhadap pengurusan dan pengasingan sisa pepejal domestik yang bermula di kediaman masing-masing adalah antara langkah penting dalam melestarikan persekitaran serta menjaga keharmonian sejagat.

Kewujudan perkhidmatan yang menguruskan sisa pepejal domestik bukanlah alasan untuk orang ramai mengabaikan ilmu pengasingan sampah, sebaliknya perlu bersama-sama melaksanakan tanggungjawab berkenaan.

Berdasarkan Peraturan di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672), kerajaan mula mewajibkan pengasingan sisa pepejal di rumah sejak 1 September 2015.

Pengasingan sisa pepejal adalah proses mengasingkan sisa pepejal yang dihasilkan dari kediaman mengikut komposisi sisa pepejal.

Antara jenis komposisi sisa pepejal termasuk:

1. Kertas

Surat khabar, majalah, buku, kertas komputer, kertas berwarna, kotak kertas, kalendar dan sebagainya.

2. Plastik

Botol minuman ringan, botol air mineral, bekas makanan, bekas sabun basuh dan mandian, baldi dan sebagainya.

3. Bahan kitar semula

Kaca, seramik, tin aluminium, logam, barang elektrik (bateri, telefon bimbit), bahan fabrik, getah, sisa berbahaya (bekas penyembur ubat nyamuk, racun, pelarut)

4. Sisa baki

Sisa makanan, lampin pakai buang dan sisa kotor lain.

5. Sisa pukal

Peralatan rumah yang besar seperti peti sejuk, almari dan perabot lain. Menariknya pada 2012, komponen sisa makanan mencatatkan komposisi tertinggi sebanyak 44.5 peratus berdasarkan kajian Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN), diikuti plastik (13.2 peratus) dan lampin (12.1 peratus).

Mengikut saranan JPSPN, komposisi sisa pepejal yang diasing hendaklah dimasukkan

ke dalam bekas atau plastik sampah bersesuaian, sebelum ia diletakkan di tepi tong sampah pada hari kutipan yang ditetapkan bagi satu-satu kawasan kediaman.

Bagi sisa pukal pula, ia perlulah diletakkan secara kemas di bahu jalan hadapan rumah pada hari kutipan. Kutipan bagi sisa pepejal ini dilakukan sekali seminggu oleh syarikat konsesi dilantik.

Manakala, sisa baki pula perlu dimasukkan ke dalam plastik sampah, seterusnya dimasukkan ke dalam tong sampah sebelum kutipan dilakukan dengan kekerapan dua kali seminggu.

Kegagalan orang awam melakukan pengasingan sisa pepejal, jika disabit kesalahan boleh didenda maksimum RM1,000 mengikut Seksyen 74, Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007.

Dari segi sosial, pengabaian pelaksanaan pengasingan sisa pepejal domestik meninggalkan impak negatif bukan sahaja pencemaran alam dan udara, bahkan ia menarik kehadiran vektor pembawa penyakit.

Lebih membimbangkan, pengurusan sampah secara tidak efektif ini boleh menyebabkan satu-satu lokasi di kawasan kediaman menjadi tempat pembiakan serangga dan haiwan pembawa penyakit seperti nyamuk aedes (denggi), tikus (leptospirosis, salmonella) dan lipas (salmonella, poliomielitis).

Langkah mudah mengasingkan sisa pepejal

1. Asing mengikut jenis

2. Simpan sementara dalam bekas sesuai

3. Letakkan di tepi tong sampah pada hari kutipan

Objektif pengasingan sisa pepejal di rumah

1. Mengelakkan pembuangan bahan yang boleh dikitar semula.

2. Mengurangkan jumlah sisa pepejal dihantar ke tapak pelupusan.

3. Mengurangkan peruntukan wang negara untuk proses pelupusan sisa pepejal.

4. Menjadi satu kesalahan di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) jika tidak mengasingkan sisa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mac 2019 @ 5:30 AM