Nursyahirah Marzuki

Putrajaya: Sebanyak 90 peratus daripada 80,000 penduduk di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di sini berjaya mengasingkan sisa pepejal dengan betul sejak peraturan itu dikuatkuasakan September lalu.

Pegawai Penguat Kuasa Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Putrajaya Muhammad Fahmi Hashim berkata, bagaimanapun, 10 peratus daripada jumlah penduduk masih tidak mematuhi peraturan itu menyebabkan pihaknya mengeluarkan surat peringatan mesra kepada mereka.

“Sehingga semalam kami sudah mengeluarkan 326 surat peringatan mesra kepada premis kediaman yang gagal melakukan pengasingan sisa pepejal.

“Surat peringatan mesra yang dikeluarkan untuk memberi kesedaran mengenai kewajipan mengasingkan sisa pepejal kepada pemilik premis yang gagal mematuhi Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672),” katanya selepas membuat penguatkuasaan sisa pepejal di Presint 8 di sini, semalam.

Mulai 1 September tahun lalu, semua premis perumahan di negeri yang menerima pakai Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya, Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perlis dan Kedah diwajibkan untuk mengasingkan sisa pepejal sebagai langkah menggalakkan amalan kitar semula di negara ini.

Namun, mulai semalam, kompaun RM50 dikenakan bagi mereka yang gagal melaksanakan arahan itu bagi kesalahan pertama manakala kompaun bagi kesalahan kedua dikenakan sebanyak RM100 dan RM200 bagi kesalahan ketiga seperti yang termaktub dalam Akta 672.

Katanya, SWCorp akan melakukan pemantauan secara berkala dan sekiranya premis berkenaan masih tidak melakukan pengasingan sisa pepejal, mereka akan dikenakan kompaun atau tindakan mahkamah.

“Pemilik kediaman yang gagal mematuhi Akta 672 itu akan dikenakan kompaun iaitu kali pertama (RM50); kali kedua (RM100) manakala kali ketiga (RM500) dan tindakan mahkamah bagi kesalahan kali keempat dan seterusnya.

“Sebagai langkah untuk memastikan setiap premis kediaman mematuhi peraturan ini, kita akan memberi pendedahan kepada penduduk di seluruh kawasan ini dengan mengadakan taklimat, mengedarkan risalah selain memberi penerangan dari rumah ke rumah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Jun 2016 @ 9:09 AM
PENGUAT kuasa SWCorp  menunjukkan notis pemberitahuan kesalahan kepada sebuah pemilik rumah yang didapati tidak mengasingkan sisa ketika Operasi Penguatkuasaan Pengasingan Sisa Di Punca (SAS) di Taman Seri Serindit, Bukit Serindit, Melaka.
PENGUAT kuasa SWCorp menunjukkan notis pemberitahuan kesalahan kepada sebuah pemilik rumah yang didapati tidak mengasingkan sisa ketika Operasi Penguatkuasaan Pengasingan Sisa Di Punca (SAS) di Taman Seri Serindit, Bukit Serindit, Melaka.
PENGUAT kuasa SWcorp memberi notis peringatan.
PENGUAT kuasa SWcorp memberi notis peringatan.
ABDUL Rahman (dua dari kanan) bersama Raja Nong Chik merasmikan  inisiatif pengasingan sisa pepejal di PPR Kampung Limau, Pantai Dalam.
ABDUL Rahman (dua dari kanan) bersama Raja Nong Chik merasmikan inisiatif pengasingan sisa pepejal di PPR Kampung Limau, Pantai Dalam.