ANGGOTA penguat kuasa memasang kain rentang amaran di lokasi pembuangan sampah haram. FOTO ihsan SWCorp Negeri Sembilan
ANGGOTA penguat kuasa memasang kain rentang amaran di lokasi pembuangan sampah haram. FOTO ihsan SWCorp Negeri Sembilan
Mohd Amin Jalil


Seremban: Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Sembilan mengesan 117 kawasan pembuangan sampah haram yang masih aktif di negeri ini.

Pengarahnya, Mohd Zahir Shari berkata, pihaknya sentiasa melakukan pemantauan rapi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang melakukan perbuatan yang boleh mencemarkan alam sekitar.

"Anggota penguat kuasa SWCorp Negeri Sembilan sentiasa melakukan pemantauan, intipan dan operasi berterusan terhadap lokasi yang dikenal pasti sebagai hot spot pembuangan sampah haram.

"Operasi intipan dan serbuan akan diatur dengan teliti bagi mengenal pasti pelaku yang bertanggungjawab.

"Kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan perbuatan itu," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sebelum ini media melaporkan terdapat tujuh negeri yang tidak memperakui Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) membabitkan Selangor, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

Mohd Zahir berkata, sehingga September lalu, sebanyak 262 operasi membanteras lokasi pembuangan sampah haram dijalankan.

"Namun, pemantauan berkala akan tetap diteruskan di lokasi berkenaan dan tindakan akan diambil terhadap sebarang aduan berkaitan kegiatan pembuangan sampah haram oleh mana-mana pihak.

"Terdapat juga lokasi yang berlaku pembuangan berulang namun operasi dilaksanakan ada pesalah ditangkap dan kertas siasatan dibuka untuk pendakwaan di mahkamah," katanya.

Mohd Zahir berkata, sebanyak 12 kes pendakwaan sampah haram juga direkodkan dari 2014 sehingga April tahun ini dengan membabitkan jumlah denda sebanyak RM174,000.

Beliau berkata, Negeri Sembilan adalah salah satu daripada tujuh negeri yang menerima pakai Akta 672 bagi mentransformasikan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam.

Katanya, usaha itu diharap dapat mengatasi cabaran yang semakin kompleks seperti peningkatan kos pengurusan sisa pepejal, penjanaan sisa pepejal yang tinggi, sistem pelupusan tidak mapan serta pembuangan sampah secara haram.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Oktober 2021 @ 10:22 AM