Operasi mencari pemandu jengkaut yang tertimbus dalam tanah runtuh di tapak pembinaan di Jalan Padang Tembak, Bukit Pinang sedang giat dilakukan pasukan Bomba. FOTO IHSAN BOMBA
Operasi mencari pemandu jengkaut yang tertimbus dalam tanah runtuh di tapak pembinaan di Jalan Padang Tembak, Bukit Pinang sedang giat dilakukan pasukan Bomba. FOTO IHSAN BOMBA
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Seorang pemandu jengkaut dikhuatiri tertimbus tanah runtuh ketika menjalankan kerja di tapak pembinaan di Jalan Padang Tembak, Bukit Pinang, di sini, hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Kedah menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 9.37 pagi.

Beliau berkata, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pokok Sena dan Alor Setar tiba di lokasi tidak lama kemudian.

"Berdasarkan maklumat awal, dipercayai lelaki berusia 40-an dipercayai pemandu jengkaut itu dikhuatiri tertimbus di balik runtuhan tanah di kawasan itu.

"Setibanya di lokasi, didapati terdapat runtuhan batu di lokasi dari kerja timbun tapak pembinaan dan mangsa adalah pemandu jengkaut terbabit," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, setakat ini kerja mencari dan menyelamat (SAR) sedang dilakukan dengan bantuan sebuah jengkaut.

Beliau berkata, identiti mangsa belum diperoleh setakat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Julai 2022 @ 12:06 PM