Anggota bomba membantu warga emas untuk dipindahkan selepas rumah mereka di Batu 10, Jalan Sungai Petani-Alor Setar di Kota Sarang Semut di sini, dilanda banjir kilat malam tadi. Foto Ihsan JBPM
Anggota bomba membantu warga emas untuk dipindahkan selepas rumah mereka di Batu 10, Jalan Sungai Petani-Alor Setar di Kota Sarang Semut di sini, dilanda banjir kilat malam tadi. Foto Ihsan JBPM
Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Dua wanita warga emas dibantu anggota bomba untuk dipindahkan selepas rumah mereka di Batu 10, Jalan Sungai Petani-Alor Setar di Kota Sarang Semut di sini, dilanda banjir kilat malam tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung banjir kilat itu pada 9.37 malam.

Menurutnya, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pendang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Farid Abdullah bergegas ke lokasi dan tiba di situ pada 9.52 malam.

"Operasi itu disertai tujuh anggota dan dua jentera dari BBP Pendang dan turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Pendang.

"Setibanya di lokasi, didapati air sungai berhampiran kampung itu melimpah menyebabkan air sedalam 0.6 meter sehingga menjejaskan kediaman penduduk akibat hujan lebat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, berikutan itu anggotanya membantu memindahkan dua wanita warga emas berusia 60 dan 67 tahun terbabit ke kediaman ahli keluarga mereka yang terdekat.

Menurutnya, operasi tamat sepenuhnya pada 11.05 malam dan keadaan air di lokasi semakin surut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 September 2020 @ 9:09 AM