FOTO BERNAMA
FOTO BERNAMA
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini, menuntut rakyat memelihara dan menghormati kesucian agama.

Baginda bertitah, agama bukan satu perkara untuk bergurau senda dan dijadikan bahan jenaka.

"Jangan sekali-kali kita memperkecil, menghina dan mempersendakan agama semata-mata atas nama kebebasan bersuara.

"Beta khuatir perbuatan sedemikian bakal menyemarakkan api perkauman dan meruntuhkan ikatan perpaduan antara semua kaum yang sudah terbina sejak sekian lama," titahnya.

Baginda bertitah pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1444H/2022M dan Bacaan Yasin Hari Pahlawan di Masjid Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.

Turut berangkat pada majlis berkenaan adalah Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Hadir sama Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad.

Tema sambutan Maal Hijrah pada kali ini ialah 'Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran'.

Dalam pada itu, baginda turut bertitah tuntutan hijrah bukan hanya bermaksud perpindahan tetapi membabitkan transformasi minda bagi membentuk budaya hidup berteraskan modal dan etika.

"Jadikanlah peristiwa hijrah Rasulullah SAW sebagai panduan kepada kita untuk membina sebuah negara yang stabil dan gemilang," titah baginda.

Justeru, mengambil keberkatan kedatangan tahun baharu hijrah, baginda menyeru rakyat memelihara nikmat dan rahmat sebuah negara yang merdeka serta berdaulat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Julai 2022 @ 9:56 PM