Ahmad Hasbi

Nilai: Orang ramai melalui Dataran Nilai, di sini, dinasihatkan supaya menggunakan laluan alternatif kerana laluan berkenaan dijangka sesak sempena penganjuran NS Fest dari 28 hingga 31 Julai.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman berkata, dianggarkan 300,000 pengunjung akan hadir ke program anjuran Kerajaan Negeri Sembilan berkenaan.

"Laluan masuk ke Dataran Nilai dijangka mengalami kesesakan. Polis mencadangkan laluan alternatif bagi pengguna jalan raya terutama yang menuju ke Sepang, KLIA, dan Salak Tinggi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, Ibu Pejabat Daerah (IPD) Nilai juga akan membuka kaunter rayuan dan bayaran saman di lokasi sepanjang festival berlangsung.

"Waktu operasi dari jam 10 pagi hingga jam 4 petang. Rayuan saman diberikan sebanyak 30 peratus kecuali kesalahan lapan kesalahan yang dikenal pasti.

"Antaranya kesalahan lampu isyarat, lorong kecemasan, garisan berkembar, kemalangan, saman non-compaundable, dalam perbicaraan mahkamah, berkaitan lori, ubahsuai ekzos dan memotong barisan.

"Individu yang ingin membayar saman dinasihatkan supaya membuat semakan terlebih dahulu di Balai Trafik berhampiran atau melalui laman web mybayar.rmp.gov.my bagi mengelakkan kesesakan dan berbaris panjang," katanya.

Beliau berkata, pengguna jalan raya dinasihatkan supaya merancang laluan bagi memastikan kelancaran perjalanan dan mengelakkan daripada pembaziran masa dan sebarang kesulitan.

SUPERINTENDAN Mohd Fazley Ab Rahman. FOTO Arkib NSTP
SUPERINTENDAN Mohd Fazley Ab Rahman. FOTO Arkib NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Julai 2022 @ 4:35 PM