Mohamad (tengah) menyaksikan serah terima tugas Ketua Polis Daerah Nilai antara Mohd Nor Marzukee  (kiri) dengan Mohd Fazley. FOTO ihsan polis
Mohamad (tengah) menyaksikan serah terima tugas Ketua Polis Daerah Nilai antara Mohd Nor Marzukee (kiri) dengan Mohd Fazley. FOTO ihsan polis
Mohd Amin Jalil


Nilai: Ketua Unit Siasatan Terkelas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Nilai, Negeri Sembilan, yang baharu berkuat kuasa 23 November ini.

Pelantikan beliau bagi menggantikan Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar yang bertukar ke Bahagian Pengajian Pengurusan Bencana, Pusat Pengajian Sains Pengurusan Krisis dan Bencana, Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kuala Lumpur.

Majlis serah terima tugas itu berlangsung di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai disaksikan Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop, semalam.

Mohamad berkata, Mohd Nor Marzukee sudah berkhidmat sebagai Ketua Polis Daerah Nilai selama dua tahun sebulan.

Beliau berkata, banyak kejayaan dicapai oleh beliau selama menerajui IPD Nilai khususnya dari aspek keselamatan dan ketenteraman awam di daerah berkenaan.

"Saya mengucapkan ribuan terima kasih atas segala khidmat bakti yang dicurahkan oleh Mohd Nor Marzukee selama perkhidmatan beliau di Kontinjen Negeri Sembilan.

"Saya juga berharap agar seluruh warga kerja IPD Nilai akan terus memberikan sokongan padu kepada Ketua Polis Daerah Nilai yang baharu, Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman," katanya.

Mohamad juga menggesa sokongan yang sama diberikan kepada Siti Rozaida Aripin selaku Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) IPD Nilai, yang baharu.

Pada majlis yang sama, beliau turut menyempurnakan pemakaian pangkat Deputi Superintendan Mat Ghani Lateh yang dinaikkan pangkat sekali gus dilantik menjadi Timbalan Ketua Polis Daerah Nilai yang baharu.

Selain itu, turut diadakan serah terima tugas antara Siti Rozaida dengan bekas Pengerusi Perkep IPD Nilai, Sharliana Che Ani yang disaksikan Pengerusi Perkep Kontinjen Negeri Sembilan, Datin Norlela Idris.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 November 2020 @ 11:17 AM