HAZANI (tengah) ketika sidang media selepas merasmikan Penutupan Op Bersepadu Khazanah Sabah Bil 2/2022 di Kinabalu Park, Kundasang. FOTO Juwan Riduan
HAZANI (tengah) ketika sidang media selepas merasmikan Penutupan Op Bersepadu Khazanah Sabah Bil 2/2022 di Kinabalu Park, Kundasang. FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan

Kundasang: Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) Sabah mengesan 53 kes dalam tempoh sebulan membabitkan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM10.61 juta.

Ia yang berakhir pada 16 Julai lalu turut menyaksikan seramai 108 individu membabitkan 60 rakyat tempatan, 35 warga Filipina dan 13 warga Indonesia ditahan atas pelbagai kesalahan.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, antara kesalahan tertinggi adalah mengikut Enakmen Taman 1948 membabitkan 43 tangkapan.

Katanya, ia diikuti dengan Akta Peraturan-Peraturan Pelabuhan dan Dermaga (Kapal Kecil Berlesen) 2008 yang merekodkan 18 tangkapan.

"Kesalahan lain yang dikesan adalah mengikut Akta Perikanan, Akta Senjata Api, Akta Polis dan Akta Jabatan Laut selain kesalahan mengikut Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997 dengan 10 tangkapan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perasmian penutupan Op Bersepadu Khazanah Sabah Bil 2/2022, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Taman-Taman Sabah (TTS) Ludi Apin; Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun; Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Datuk Mohd Rosli Abdullah.

Hazani berkata, OBK turut mengeluarkan keseluruhan kompaun sebanyak RM76,000 selain merampas sembilan senjata dan 126 peluru pelbagai jenis.

Menurutnya, operasi berkenaan akan diteruskan dari semasa ke semasa membabitkan 13 kawasan sasaran di daratan dan perairan negeri ini.

"Nilai rampasan membabitkan lebih RM10.6 juta itu adalah satu kehilangan besar kepada negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Julai 2022 @ 2:20 PM