Lapan lelaki yang ditahan kerana menceroboh taman laut di Pulau Tiga. FOTO IHSAN PGA
Lapan lelaki yang ditahan kerana menceroboh taman laut di Pulau Tiga. FOTO IHSAN PGA
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Padah menangkap ikan di kawasan taman laut, lapan lelaki ditahan selepas disyaki menceroboh kawasan larangan di Pulau Tiga, di sini, semalam.

Tangkapan pertama Op Bersepadu Khazanah (OBK) pada 4.27 petang itu dijalankan Pasukan Tiger Platoon Batalion 16 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kota Kinabalu bersama renjer Taman-Taman Sabah (TTS) dan Jabatan Perhutanan Sabah.

Turut serta dalam operasi itu adalah Unit Dron dari Pasukan Gerakan Udara (PGU), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, penahanan itu susulan pemantauan melalui udara oleh Unit Dron PGU yang mendapati sebuah bot berada dalam kawasan larangan.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat itu, Pasukan Tiger Platoon Batalion PGA Kota Kinabalu bersama renjer TTS dan Jabatan Perhutanan ke lokasi bot berkenaan.

"Hasil pemeriksaan mendapati bot itu berada di dalam kawasan larangan TTS di Pulau Tiga dan tujuh lelaki berusia antara 18 hingga 35 tahun berada di atas bot itu.

"Kami merampas pelbagai peralatan disyaki untuk menangkap ikan dan tangkapan dan rampasan dibawa ke Stesen Pentadbiran Taman Pulau Tiga untuk siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, barang rampasan diambil tindakan oleh pegawai penyiasat TTS dan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM520,000.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Enakmen Taman 1984 Pindaan 2007.

"Kami turut menahan seorang lelaki bersama bot dinaikinya kerana melakukan kesalahan menceroboh kawasan larangan di perairan TTS Pulau Tiga pada 7.35 malam tadi.

"Lelaki berusia 41 tahun itu adalah warga Filipina dan jumlah rampasan dianggarkan RM35,000," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Ogos 2021 @ 5:24 PM