Penduduk bergotong royong menyediakan gulai kawah dalam Majlis Bekwoh Sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Peringkat Negeri Kelantan 2022. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI
Penduduk bergotong royong menyediakan gulai kawah dalam Majlis Bekwoh Sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Peringkat Negeri Kelantan 2022. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Lebih 5,000 rakyat negeri ini, terutama penduduk di sekitar Parlimen Ketereh, menghadiri Majlis Bekwoh Sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Peringkat Negeri Kelantan 2022 yang dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK) Peringat di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.

Majlis Bekwoh berkenaan menghidangkan lauk tradisi gulai kawah dan ia dimasak secara gotong-royong oleh penduduk.

Saadi Deraman, 65, berkata, apabila dimaklumkan yang Ismail Sabri akan berkunjung ke Kelantan, penduduk mula sibuk mahu meraikan kedatangan beliau.

"Tiga puluh penduduk bergotong-royong memasak 11 gulai kawah seawal jam 7 pagi tadi dan ia siap dimasak jam 10.30 pagi sebelum dihidang kepada tetamu.

"Kami menyediakan makanan utama di majlis keraian iaitu daging gulai kawah, sambal belacan, acar timun dan tembikai," katanya ditemui di perkarangan YKK Peringat.

Sementara itu, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ketereh, Siti Mariam Sofiah Hanapi, 19, berkata, dia teruja dapat bertemu pemimpin nombor satu negara itu dengan lebih dekat.

"Saya sangat berbesar hati dapat jumpa Perdana Menteri dan memang hasrat saya mahu bertemunya.

"Baguslah Perdana Menteri datang dan saya berharap agar kerajaan akan terus memerintah dengan bijaksana demi kebaikan rakyat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Julai 2022 @ 2:56 PM