FOTO Nik Abdullah Nik Omar
FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Nor Amalina Alias


Kota Bharu: Tiga puluh enam pasangan pengantin diarak dengan menaiki 18 kenderaan mewah dalam majlis persandingan Walimatul Urus Qubro 2016 di Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK), Peringat di sini, hari ini.

Kesemua pasangan pengantin menaiki kenderaan mewah seperti Hummer, Rolls Royce dan Range Rover yang diarak kira-kira 15 kilometer daripada Dataran Kok Lanas ke YKK Peringat yang dihadiri lebih 10,000 tetamu termasuk ahli keluarga dan saudara-mara pengantin.

Majlis dianjurkan oleh Pusat Khidmat Amal dan Aktiviti Parlimen Ketereh (KHADAM) yang dikelola Pergerakan Puteri UMNO Kelantan dan Ketereh di bawah Ahli Parlimen Ketereh,Tan Sri Annuar Musa.

Salah seorang pengantin, Ezatul Fariha Azizi, 25,berasa bangga dan teruja apabila dapat menaiki kereta mewah Rolls Royce bersama suaminya Mohd Luqman Mokhtar, 25.

"Saya tidak pernah bermimpi majlis perkahwinan seperti ini apabila diarak menaiki kereta mewah bernilai jutaan ringgit, namun saya anggap ini rezeki untuk kami.

"Saya harap Tan Sri (Annuar) dapat teruskan lagi program sebegini sebab memang sangat bermakna buat kami yang mahu mendirikan rumah tangga," katanya ketika ditemui di majlis persandingan di Dewan Tun Ghaffar Baba,Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK) Peringat,di sini, hari ini.

Seorang lagi pengantin, Mohd Azfar Mohd Ramli, 27, yang mengahwini Nor Azila Mahasan, 27, terkejut apabila majlis persandingan itu turut menjemput penyanyi kegemarannya, Jay-Jay untuk membuat persembahan.

"Saya memang rasa terkejut sebab meminati beliau sejak kecil dan terhibur dengan semua program meriah yang diadakan hari ini," katanya yang berasal dari Johor.

Sementara itu, Annuar Musa dalam ucapannya berhasrat menjadikan program itu sebagai acara tahunan bagi membantu meringankan beban terutamanya belia untuk berkahwin.

Harian Metro hari ini melaporkan, 36 pasangan pengantin selamat diijabkabulkan di Masjid Ayesya, Kok Lanas semalam.

Setiap pasangan hanya dikenakan bayaran sebanyak RM2,500, namun diraikan dengan majlis perkahwinan mewah termasuk diarak dengan menaiki kenderaan mewah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Disember 2016 @ 3:44 PM