Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Hasrat calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin untuk menjadi Perdana Menteri pada masa depan menunjukkan keyakinan diri beliau yang amat bagus selain perlu dilihat dari sudut positif.

Ketua Umno Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berkata, keyakinan ditunjukkan oleh penyandang Parlimen Rembau itu sekali gus menunjukkan beliau seorang calon yang mempunyai personaliti dan berpengalaman luas.

"Ini adalah satu pernyataan keyakinan diri yang sangat bagus dan pada saya itu adalah antara sifat-sifat yang mempunyai keyakinan diri dan beliau menyatakan komitmennya.

"Malah saya juga mengakui apabila beliau membuat kenyataan sedemikian, sambutan yang diterima begitu hangat sekali," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Komuniti Esports Keluarga Malaysia @Ketereh di Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK), Melor, di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, Khairy menyuarakan hasrat memimpin Umno dan seterusnya menjadi Perdana Menteri, satu hari nanti.

Pada pentas ceramah di Taman Saujana Utama baru-baru ini, Khairy pertama kali menyatakannya secara terbuka bagi meraih sokongan pengundi untuk memilihnya pada PRU-15, 19 November ini.

Bagaimanapun, Menteri Kesihatan itu menjelaskan jawatan itu bukan menjadi hasratnya ketika ini kerana persetujuan sudah dicapai bahawa Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang disifatkan sebagai kekandanya, akan menjadi Perdana Menteri jika BN memenangi PRU-15.

ANNUAR pada sidang media selepas merasmikan Karnival Komuniti Esports Keluarga Malaysia @Ketereh di Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK). FOTO Hazira Ahmad Zaidi
ANNUAR pada sidang media selepas merasmikan Karnival Komuniti Esports Keluarga Malaysia @Ketereh di Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK). FOTO Hazira Ahmad Zaidi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 November 2022 @ 9:11 PM