Datuk Indera Khairul Dzaimee Daud.
Datuk Indera Khairul Dzaimee Daud.
Oleh Muhaamad Hafis Nawawi


DUA belas warga asing yang bekerja sebagai tukang masak, tukang cuci kenderaan selain juruwang di sebuah stesen minyak di Petaling Jaya ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) semalam.

Serbuan 12 tengah hari itu dijalankan 13 anggota Imigresen hasil risikan serta maklumat awam.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Indera Khairul Dzaimee Daud berkata, individu ditahan membabitkan enam warga India dan enam warga Bangladesh.

"Mereka tidak mempunyai dokumen sah untuk bekerja di premis itu selain menyalahgunakan dokumen sedia ada.

"Kesemuanya dibawa ke Pusat Kesihatan Daerah Putrajaya untuk menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya untuk proses lanjut," katanya pada kenyataan.

Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

"Majikan warga asing ini akan turut dikenakan tindakan undang-undang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Jun 2020 @ 8:15 PM