NORHAFIDAH menjual daging pada hari mantai Aidiladha di tempat letak kereta di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi. FOTO Mohd Amin Jalil
NORHAFIDAH menjual daging pada hari mantai Aidiladha di tempat letak kereta di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi. FOTO Mohd Amin Jalil
Mohd Amin Jalil


Seremban: Kemeriahan aktiviti mantai tetap dirasakan ketika sambutan Aidiladha dalam kalangan masyarakat di Negeri Sembilan di sini.

Tradisi melapah daging dan membuat lemang sehari sebelum hari raya sememangnya begitu sinomin dengan masyarakat Negeri Sembilan dan tradisi itu diteruskan sehingga ke hari ini.

Tinjauan di beberapa lokasi sekitar daerah ini mendapati, mantai berlangsung secara sederhana dan terdapat aktiviti menjual daging ternakan khususnya lembu serta kerbau di tempat tumpuan ramai dan di tepi jalan.

Aktiviti membakar lemang turut diadakan di beberapa lokasi sama ada untuk memenuhi tempahan orang ramai mahupun bagi keperluan ahli keluarga.

Peniaga daging, Norhafidah Baharudin, 51, berkata, sambutan orang ramai terhadap daging ternakan bagi menyediakan juadah pada hari raya Aidiladha tidak sehebat Aidilfitri.

Menurutnya, kali ini dia hanya menyediakan tujuh ekor lembu bagi keperluan pengguna berbanding Aidilfitri lalu mencecah 12 ekor.

Katanya, bagaimanapun, pembekal dilihat sudah menaikkan harga pada kadar RM2 bagi setiap kilogram daging sekali gus menyebabkan kos yang terpaksa ditanggungnya meningkat.

"Saya terpaksa mengeluarkan modal lebih pada kali ini kerana pembekal menaikkan harga daging RM2 bagi setiap sekilogram, walaupun begitu, saya tidak menaikkan harga jualan sebaliknya kekal seperti sebelum ini.

"Tindakan itu untuk memastikan pelanggan berasa selesa dengan harga biasa walaupun margin keuntungan berkurangan kerana rata-rata yang membeli daging adalah pelanggan lama saya," katanya ketika ditemui di tempat letak kereta Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, di sini, hari ini.

Menurutnya, sambutan terhadap jualan daging pada hari mantai Aidiladha berkurangan kerana bilangan pembeli terhad, tambahan pula ada kalangan mereka yang menunggu pemberian daging ibadah korban di kawasan mereka.

Dia yang sudah berniaga lebih 10 tahun berkata, sejak kebelakangan ini bekalan daging didapati berkurangan dan ada ketikanya terpaksa mendapatkannya daripada negeri lain.

"Sekarang bekalan daging agak berkurangan dan kadangkala tidak dapat memenuhi permintaan pelanggan," katanya.

Sementara itu, Mohd Safawi Abdullah, 28, berkata dia tetap kekalkan harga jualan daging pada kadar RM40 sekilogram walaupun berlaku kenaikan daripada pembekal.

"Saya tidak tergamak untuk menaikkan harga daging kerana ramai pelanggang kalangan orang yang sama, biarpun margin keuntungan sedikit berkurangan, tapi masih boleh menampung kos operasi termasuk gaji pekerja," katanya.

Sementara itu, pengusaha lemang dan rendang, Yurnida Yurnalis, 48, berkata tempahan lemang berkurangan dan tidak sebanyak pada Aidilfitri.

Menurutnya, lazimnya jualan lemang pada musim perayaan boleh mencecah sehingga 6,000 batang tetapi kali ini hanya 2,500 batang sahaja.

"Kebanyakan mereka yang membeli lemang sudah menempahnya lebih awal dan saya pun tidak berani mengeluarkan lebih banyak kerana ramai pengguna mula berjimat kerana kos sara hidup yang tinggi.

"Malah, bagi memastikan kepentingan pelanggan, saya tidak menaikkan harga lemang walaupun harga beras pulut serkarang sudah meningkat lebih 15 peratus," katanya yang menjual lemang di tapak bekas Kem Paroi, di sini.

Beliau yang mengusahakan lemang itu bersama beberapa anaknya lebih 15 tahun berkata, lemang dijual antara RM14, RM16 dan RM18 sebatang mengikut saiz.

"Untuk kepuasan pelanggan, saya cuba kekalkan harga walaupun terdapat kalangan pengusaha lain yang meletakkan harga sehingga RM20 sebatang," katanya yang dibantu anaknya, Iqmal Izzani Abu Bakar, 25, dan Mohd Fairul Asraf Abu Bakar, 19.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Julai 2022 @ 12:44 PM