PELAKSANAAN harga maksimum musim perayaan hari raya puasa oleh Timbalan Pengarah KPDN KL, di Pasar Raja Bot (chow kit). FOTO Amirudin Sahib
PELAKSANAAN harga maksimum musim perayaan hari raya puasa oleh Timbalan Pengarah KPDN KL, di Pasar Raja Bot (chow kit). FOTO Amirudin Sahib
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Tinggal kira-kira tiga hari lagi umat Islam akan menyambut Aidilfitri, warga kota mula sibuk membeli barangan mentah untuk persiapan memasak juadah pada pagi 1 Syawal hujung minggu ini.

Malah, peniaga turut membuka gerai jualan 24 jam dan seawal 3 pagi lagi pelanggan sudah mula mengunjungi Pasar Chow Kit bagi mendapatkan barangan mentah dan keperluan memasak.

Peniaga, Ahmad Sobri Ali,38, berkata, kemeriahan Aidilfitri tahun ini dapat dirasai apabila 10 hari menjelang Syawal orang ramai sudah mula membeli barangan keperluan untuk memasak.

"Kita buka jualan daun ketupat, palas, buluh lemang, daun pisang, lengkuas, serai dan kerisik sejak 15 Ramadan, malah ada pelanggan seawal 3 pagi sudah datang membeli.

"Setakat hari ini, Alhamdulillah jualan daun ketupat saja mencecah sehingga RM4,000 sehari, buluh lemang 1,000 batang sehari manakala daun pisang 50 ikat habis terjual sehari berbanding tahun sebelum memang berkurangan.

"Trend yang kita lihat kebanyakan pelanggan datang membeli awal ini untuk persiapan masak sendiri juadah raya selain pengusaha lemang," katanya yang 15 tahun berniaga di Pasar Chow Kit.

Bagi peniaga ayam dan daging, Zahairee Mahmad, 40, dia membuka gerai jualan 24 jam bermula satu Ramadan hingga pagi Syawal.

"Macam kami jualan masih perlahan lagi, biasanya sehari sebelum raya sampai ke pagi raya baru kami tak menang tangan melayan pelanggan yang datang tidak putus-putus membeli ayam dan daging.

"Untuk Aidilfitri saja kami tawarkan 2,000 kilogram (kg) ayam dan 600 kg daging iaitu kuantitinya lebih sekali ganda berbanding jualan hari biasa.

"Kami jual ayam lebih kerana orang banyak beli ayam untuk Aidilfitri dan biasanya permintaan untuk daging meningkat pada Aidiladha," katanya yang menjangkakan jualan tahun ini lebih baik berbanding tahun sebelum.

Sementara itu, pelanggan, Zuraidah Chetu, 27, dari Gombak, Selangor berkata, dia membeli awal kerana tidak mahu bersesak di saat akhir apatah lagi belum mengetahui tarikh sebenar Aidilfitri.

"Saya datang sini hari ini untuk membeli barangan memasak juadah raya termasuk daun palas dan barangan mentah lain kerana tidak mahu buat persiapan di saat akhir.

"Macam ketupat palas memang kena beli awal kerana kita perlu jemur satu-satu dulu baru masak malam esok.

"Memang setiap tahun, kami sekeluarga akan memasak sendiri juadah raya kerana lebih puas hati apabila dimasak mengikut cita rasa sendiri," katanya ketika ditemui, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 April 2023 @ 12:22 PM