FARUK mengagihkan air botol kepada penduduk yang terjejas akibat gangguan bekalan air sejak semalam. FOTO ihsan Kariah Masjid Kapitan Keling
FARUK mengagihkan air botol kepada penduduk yang terjejas akibat gangguan bekalan air sejak semalam. FOTO ihsan Kariah Masjid Kapitan Keling
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Jawatankuasa Kariah Masjid Kapitan Keling, Lebuh Buckhingham, di sini, mengambil inisiatif mengagihkan air minuman kepada penduduk berhampiran yang terjejas akibat gangguan bekalan air.

Air botol minuman antara 4.5 liter hingga 5.5 liter itu diberi secara percuma kepada orang ramai yang memerlukan.

Timbalan Pengerusi Kariah masjid berkenaan, Datuk Mohamed Aswan Seeni Mohamed Nizalath berkata, air botol berkenaan sudah mula diedarkan sejak 9.30 malam tadi.

Beliau berkata, individu yang memerlukan juga boleh tampil mengambil air botol berkenaan yang di tempatkan di sudut masjid.

"Agihan dilakukan di perumahan sekitar Lebuh Buckingham, Jalan Masjid Kapitan Keling, Masjid Lebuh Acheh dan Jalan Kampung Kolam.

"Sumbangan air botol itu juga diberi kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa atau agama.

"Setakat ini pihak masjid sudah menyediakan sehingga 200 botol air minuman dan mereka boleh mengambilnya sehingga bekalan sudah pulih," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Agihan turut dilakukan Pengerusi Masjid Kapitan Keling, Faruk Raja Mohamed ke lokasi yang terjejas.

Terdahulu, sebahagian negeri ini mengalami gangguan bekalan air sejak pagi semalam susulan loji rawatan air terpaksa dihenti tugas akibat banjir di Baling, Kedah.

Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menjangka tekanan bekalan air dapat dipulihkan hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Julai 2022 @ 12:59 PM