DATUK Seri Muhammad Sanusi Md Nor. FOTO Bernama
DATUK Seri Muhammad Sanusi Md Nor. FOTO Bernama
Noorazura Abdul Rahman


Baling: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menafikan beliau mempunyai kepentingan dalam projek tanaman Musang King di Gunung Inas, di sini, yang didakwa menjadi punca berlakunya bencana banjir dan kepala air, petang kelmarin.

Katanya, projek tanaman Musang King itu dijalankan sebelum beliau menjawat jawatan Menteri Besar dan sudah memberi arahan menghentikan projek itu pada Julai 2020 selepas dua bulan menjawat jawatan itu.

"Orang kata saya nak cover (melindungi projek) Musang King, jadi pi habaq (beritahu) tandak kampung (di gunung itu) pecah, tak betul tu.

"Buat apa saya hendak cover, Musang King itu ditanam sebelum zaman saya, saya masuk (jadi Menteri Besar) pokok itu sudah ada. Saya ada fakta dan angka untuk adil kepada semua, hendak lindung siapa? Kita akan selamat apabila kita pegang kepada fakta dan angka," katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Pejabat Daerah dan Tanah Baling di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kritikan bahawa kerajaan negeri gagal bertindak dalam soal projek tanaman Musang King di Gunung Inas, sehingga menyebabkan musibah banjir dan kepala air yang menjejaskan 12 kampung.

Muhammad Sanusi berkata, pihaknya tidak mahu menyalahkan sesiapa termasuk orang kampung yang memerlukan tandak untuk menyalurkan air ke rumah masing-masing.

Katanya, sekarang bukan masa untuk saling salah-menyalah antara satu sama lain.

"Adalah ahli politik yang bijaksana ini pun awal-awal lagi dia dah kelepiak (tepis) dah kan, menitik dua tiga air mata dia belah (sudah) selamatlah. Orang lain tanggunglah pulak.

"Saya kata jadi pemimpin jadi kerajaan apabila saling salah menyalahi, saya rasa masyarakat kita tidak akan ke mana... Jadi tidak bagus untuk benda itu," katanya.

Muhammad Sanusi menjelaskan kerajaan negeri sangat komited dalam pemuliharaan hutan apabila jumlah hutan gantian sedia ada pada keluasan 22,000 hektar melepasi kadar 15,000 hektar yang ditetapkan.

Katanya, penanaman pokok durian pula hanya dibenarkan pada kadar 20 peratus dalam kawasan ladang hutan sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Julai 2022 @ 4:27 PM