Keadaan jambatan yang runtuh dan rosak selepas berlaku kejadian banjir lumpur dan kepala air di Kampung Bukit Iboi di sini. Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang Isnin, beberapa kawasan dilaporkan terjejas dan menyebabkan tiga sekeluarga maut dihanyut banjir lumpur. FOTO DANIAL SAAD
Keadaan jambatan yang runtuh dan rosak selepas berlaku kejadian banjir lumpur dan kepala air di Kampung Bukit Iboi di sini. Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang Isnin, beberapa kawasan dilaporkan terjejas dan menyebabkan tiga sekeluarga maut dihanyut banjir lumpur. FOTO DANIAL SAAD
Noorazura Abdul Rahman


Baling: Kerajaan negeri perlu menunggu laporan daripada jabatan berkaitan sebelum mengesahkan punca banjir dan kepala air di Kupang, di sini.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata pihaknya juga perlu melakukan siasatan lanjut sama ada terdapat projek Musang King yang masih dijalankan selepas arahan menghentikan projek itu dibuat pada Julai 2020.

"Tak perlu buat spekulasi atau pelbagai dakwaan, sekiranya ada bukti kemukakan, sekarang ini biar agensi mahupun jabatan berkaitan membuat penilaian terperinci berhubung faktor kejadian mengikut kepakaran pihak jabatan masing-masing.

"Jabatan Mineral dan Geosainsada ada kepakaran, Jabatan Hutan ada kepakarannya, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang buat tadahan hujan, ukur hujan semua ia ada kepakaran.

"Mereka tak keluar laporan lagi pun, saya kena baca itu semua baru boleh bagi kenyataan. Tak sama pandangan netizen, kalau saya nak popular saya ikut mereka (netizen), mereka akan sokong saya.

"Tetapi saya nak kepimpinan saya mesti berdasarkan fakta berdasarkan laporan rasmi jabatan dan agensi bila laporan tak dak (tiada) lagi saya tak boleh cakap lagi, tunggu sat lah (dulu)," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Pejabat Daerah dan Tanah Baling di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata pihaknya juga mengesahkan terdapat kolam air berdekatan projek tanaman Musang King di Gunung Inas berdasarkan gambar diambil dari udara oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) namun tidak dapat dipastikan sama ada ia berisiko menyebabkan berlakunya bencana banjir dan kepala air ke kawasan penduduk.

Katanya, perkara itu turut memerlukan penilaian daripada jabatan berkaitan termasuk tandak air yang dibina penduduk kampung.

Terdahulu, Sanusi menerusi kenyataannya berkata beberapa tandak air yang dibina penduduk didapati pecah dan dipercayai berkemungkinan menyumbang kepada pembentukan kepala air yang melanda daerah Baling pada petang kelmarin.

Katanya, tinjauan penduduk kampung ke tandak takungan di Gunung Inas yang membekalkan air masyarakat ke Kampung Carok Kapas dan Kampung Carok Rotan Mas mendapati ia pecah dalam tragedi berkenaan.

"Keadaan ini berlaku disebabkan tandak takungan berkenaan hilang upaya untuk menakung air yang banyak dan laju.

"Situasi yang berlaku itu tidak terakam dari udara (dilakukan) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pagi Selasa (semalam)," katanya.

Muhammad Sanusi tidak menolak kemungkinan terdapat tandak takungan air masyarakat ke kampung lain juga mengalami situasi sama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Julai 2022 @ 5:33 PM