HASNOL (tengah) melihat pembungkusan minyak masak bersubsidi semasa lawatan ke kilang PGEO Edible Oils Sdn Bhd. FOTO Omar Ahmad
HASNOL (tengah) melihat pembungkusan minyak masak bersubsidi semasa lawatan ke kilang PGEO Edible Oils Sdn Bhd. FOTO Omar Ahmad
Omar Ahmad

Pasir Gudang: Usaha membanteras penyeludupan keluar dan menyorok minyak masak bersubsidi khususnya di sempadan Malaysia-Thailand akan ditingkatkan dengan kerjasama pelbagai agensi penguatkuasaan.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Hasnol Zam Zam Ahmad berkata, langkah itu sekali gus dapat mengelakkan penyalahgunaan minyak masak bersubsidi dan memastikan bekalan bahan itu mencukupi di seluruh negara.

Katanya, ketika ini kerajaan memperuntukkan 60,000 metrik tan minyak masak subsidi setiap bulan atau bersamaan 720,000 tan setahun yang mencukupi untuk keperluan 32 juta penduduk negara ini.

"Kita sentiasa membuat tangkapan dan rampasan minyak masak bersubsidi yang diseleweng. Ada yang dibeli di kedai kemudian dikumpul dan dihantar ke negara jiran.

"Ada juga minyak masak bersubsidi ini dibungkus semula dalam bekas yang lebih besar seperti tin untuk mengaburi mata pihak berkuasa seolah-olah ia bukan bersubsidi," katanya selepas membuat lawatan ke kilang PGEO Edible Oils Sdn Bhd di sini, hari ini.

Namun, jelas Hasnol, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan pelbagai agensi penguatkuasaan di sempadan termasuk tentera bagi mendapat maklumat.

Katanya, kerjasama itu membuktikan kejayaan apabila KPDNHEP Kelantan merampas 9,350 kilogram minyak masak paket yang cuba diseludup ke Thailand pada 5 Jun lalu.

"Ini antara cabaran dalam menguruskan minyak masak bersubsidi kerana harga minyak masak di negara jiran lebih tinggi daripada harga subsidi yang kita tawarkan kepada rakyat.

"Di bawah skim minyak masak bersubsidi, kerajaan melantik 300 pihak yang aktif untuk membungkus minyak masak paket satu kilogram di seluruh negara.

"Jumlah itu mencukupi kerana setiap rakyat di negara ini mendapat peruntukan minyak masak bersubsidi kira-kira dua kilogram setiap orang.

"Namun disebabkan mungkin ada pengguna yang membeli lebih, kita hadkan supaya penjualan dua atau tiga tahun paket seorang bergantung kepada kawasan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Jun 2021 @ 2:43 PM