Longgokan guna berisi najis di Bukit Beruntung.
Longgokan guna berisi najis di Bukit Beruntung.
Yusmizal Dolah Aling


Hulu Selangor: Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) menerima aduan awam berkaitan kacau ganggu bau berhampiran Sekolah Kebangsaan Taman Bunga Raya 2, Bukit Beruntung, hari ini.

Yang Dipertua MPHS, Mohd Hasry Nor Mohd berkata, siasatan awal mendapati aduan kacau ganggu bau itu wujud dan boleh menyebabkan ketidakselesaan kepada penduduk.

Menurutnya, punca bau dikenal pasti berpunca daripada longgokan guni baja di kebun pisang yang jaraknya 10 meter dari kawasan perumahan dan sekolah.

"Sebanyak 1,600 guni baja jenis tinja ayam dilonggokkan berdekatan kawasan berkenaan.

"Anggota operasi berjumpa dengan pengusaha kebun dan dia memaklumkan baja itu digunakan untuk aktiviti tanaman 600 pokok pisang di kebunnya yang berkeluasan satu hektar," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Hasry berkata, pengusaha juga memaklumkan dia menyewa tanah itu daripada pemaju manakala tinja ayam yang digunakan pula sudah dirawat, dan dicampur dengan habuk kayu yang diperoleh daripada pembekal di kawasan Batang Kali.

"Pemeriksaan lanjut dijalankan dan mendapati tempat longgokan baja tinja (biru) adalah zoning pengangkutan dan institusi kemudahan masyarakat (pendidikan).

"Sementara, kawasan kebun (merah) adalah zoning institusi kemudahan masyarakat (kegunaan kerajaan)," katanya.

Beliau berkata, pihak jabatan akan mengeluarkan Notis Menghendaki Kacau Ganggu Dihapuskan (Akta Kerajaan Tempatan 1976) bertempoh tujuh hari kepada pengusaha dan pemaju, selain laporan akan dipanjangkan kepada Jabatan Pertanian dan Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Selangor untuk tindakan bersama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Julai 2022 @ 9:00 PM