FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Muhaamad Hafis Nawawi


Hulu Selangor: Pemilik kebun yang menyebabkan ganggu bau berhampiran Sekolah Kebangsaan Taman Bunga Raya 2, Bukit Beruntung pada 4 Julai lalu didapati menceroboh tanah rizab kerajaan.

Pejabat Tanah Daerah Hulu Selangor (PTDHS) mengesahkan, tanah itu adalah tanah rizab kerajaan bagi tujuan membina masjid.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS), Mohd Hasry Nor Mohd berkata, kesalahan ini tertakluk mengikut peruntukan Seksyen 425 Akta Kanun Tanah Negara 1965, iaitu menceroboh tanah kerajaan.

Menurutnya, tindakan selanjutnya akan dilaksanakan oleh pihak PDTHS.

"Berikutan aduan kacau ganggu bau yang berpunca daripada tinja ayam di Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung pada 4 Julai lalu, MPHS menjalankan siasatan susulan terhadap isu terbabit.

"Hal ini berikutan, pihak majlis menerima maklumat daripada pemaju kawasan iaitu MK Land bahawa kenyataan pengusaha kebun pisang yang memaklumkan dia menyewa tanah kebun seluas 1.6 hektar daripada pemaju adalah tidak benar," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Hasry berkata, satu perjumpaan bersama pihak pengurusan tertinggi MK Land dilakukan bagi mendapatkan pengesahan berkaitan isu yang berlaku.

"Hasil perjumpaan didapati tanah kebun itu bukan milik MK Land dan ia rizab tanah kerajaan seluas dua hektar.

"Pihak majlis sudah mengeluarkan notis amaran kepada pemilik kebun di atas kesalahan Seksyen 82 (notis menghendaki kacau ganggu dihapuskan) meletakkan tinja ayam (1600 guni) di rizab pengangkutan yang menyebabkan kacau ganggu bau ke kawasan sekitar dan diminta untuk melakukan pembersihan dalam tempoh tujuh hari dari tarikh notis," katanya.

Beliau berkata, pemilik kebun diminta untuk memberi laporan kepada pihak MPHS setelah kerja-kerja pembersihan dilakukan untuk makluman.

Sementara itu, di dalam satu kenyataan, pihak pemaju tidak pernah memberikan apa-apa kebenaran atau sewaan kepada mana-mana individu untuk tujuan pertanian dan sebagainya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan MPHS menerima aduan awam berkaitan kacau ganggu bau berhampiran Sekolah Kebangsaan Taman Bunga Raya 2, Bukit Beruntung.

Berita berkaitan:

  • Baja tinja ayam ganggu keselesaan penduduk
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Julai 2022 @ 8:10 PM