Zatul Iffah Zolkiply dan Baharom Bakar


Kuala Nerus: Sebanyak13,431 peluang pekerjaan ditawarkan melalui 89 majikan menerusi Program Jamin Kerja sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) di Terengganu.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia sekali gus membolehkan Keluarga Malaysia di negeri ini dipadankan dengan pekerjaan yang sesuai.

Beliau berkata, kerajaan juga cakna tentang kebajikan pekerja yang hilang upaya untuk kembali bekerja.

"Mereka ditawarkan bantuan alat pemulihan supaya dapat melaksanakan pekerjaan dengan sebaiknya.

"Kerajaan negeri Terengganu dan Pertubuhan Keselamatan Sosial Pekerja (PERKESO) di bawah Kementerian Sumber Manusia bekerjasama untuk memperkasakan akses peluang pekerjaan bagi rakyat Terengganu melalui 38 Pusat Pintar yang menyasarkan 1,000 penempatan pekerjaan.

"Alhamdulillah, kita berjaya melepasi sasaran ini dengan 1,351 tawaran pekerjaan sejak ia dilaksanakan pada Disember 2021 sehingga April tahun ini dengan PERKESO yang berperanan sebagai Urusetia Pekerjaan Negeri Terengganu (UPNT)," katanya.

ISMAIL Sabri bergambar bersama orang ramai pada program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di Kompleks Sukan Negeri Terengganu. FOTO Ghazali Kori
ISMAIL Sabri bergambar bersama orang ramai pada program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di Kompleks Sukan Negeri Terengganu. FOTO Ghazali Kori

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Kompleks Sukan Negeri Terengganudi sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

Ismail Sabri berharap Keluarga Malaysia dapat memanfaatkan peluang yang ada sepanjang penganjuran JAKM di negeri ini.

Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada warga Terengganu atas sambutan yang menggalakkan serta komitmen padu yang ditunjukkan oleh kerajaan negeri.

"Saya berharap aspek keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran dalam masyarakat majmuk Keluarga Malaysia ini terus diamalkan tanpa mengira sentimen agama dan bangsa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Jun 2022 @ 2:05 PM