Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Polis merampas 11,000 karton rokok dianggarkan bernilai RM1.65 juta yang dipercayai diseludup menerusi serbuan di Bandar Ketereh, di sini, semalam.

Hasil serbuan yang dilakukan jam 6.30 petang itu turut menahan dua lelaki tempatan berusia 20 dan 30-an.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, rampasan itu dilakukan pihaknya selepas menahan sebuah lori dan kereta di tepi jalan di lokasi berkenaan.

"Hasil pemeriksaan terhadap lori itu menjumpai 11,000 karton rokok jenama Saat yang disyaki diseludup dan tidak bercukai.

"Pemeriksaan terhadap kereta pula tidak menemui sebarang barangan salah dan kedua-dua pemandu yang berasal di Kuala Lumpur ditahan untuk siasatan.

"Jumlah keseluruhan rampasan rokok adalah sebanyak 11,000 karton, sebuah lori, sebuah kereta serta lima unit telefon bimbit membabitkan nilai keseluruhan RM1.8 juta," katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua suspek yang ditahan tidak mempunyai rekod jenayah dan ujian air kencing juga negatif.

"Kedua-dua suspek akan ditahan reman dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Julai 2022 @ 8:31 AM
POLIS merampas 11,000 karton rokok yang dipercayai diseludup dan menahan dua lelaki tempatan menerusi serbuan di Bandar Ketereh, petang semalam. FOTO ihsan polis
POLIS merampas 11,000 karton rokok yang dipercayai diseludup dan menahan dua lelaki tempatan menerusi serbuan di Bandar Ketereh, petang semalam. FOTO ihsan polis