Ramli (dua dari kanan) menunjukkan pelbagai jenis rokok yang dirampas polis. FOTO Mohd Radzi Bujang
Ramli (dua dari kanan) menunjukkan pelbagai jenis rokok yang dirampas polis. FOTO Mohd Radzi Bujang
Mohd Rojj Kawi


POLIS Sarawak melakar kejayaan besar awal tahun ini dengan menumpaskan sindiket penyeludupan rokok di tiga lokasi di negeri itu dan merampas rokok pelbagai jenis bernilai RM3.7 juta.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Ramli Din berkata, kejayaan itu hasil intipan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam tempoh dua minggu hingga sebulan lalu.

Rampasan terbesar dilakukan dalam serbuan di sebuah rumah teres dua tingkat di Tabuan Jaya di sini, 11 pagi semalam apabila 9,800 karton rokok pelbagai jenis ditemui.

“Serbuan dilakukan 17 anggota Batalion 11 PGA yang turut disertai tiga pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun ditahan dan semua rampasan bernilai RM2.35 juta,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Briged PGA Sarawak di Kem Batu Kawa, Kuching hari ini.

Ramli berkata, lelaki itu kini direman empat hari mulai hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.

Rampasan kedua pula dilakukan tujuh anggota Batalion 11 PGA di pekan Batu 10 semalam dan 1,123 karton rokok pelbagai jenis ditemui disimpan dalam lori yang ditinggalkan di tepi jalan.

“Keseluruhan rampasan kedua itu dianggarkan bernilai RM303,000,” katanya sambil memaklumkan tiada tangkapan dilakukan dalam serbuan itu.

Beliau berkata, rampasan ketiga dilakukan anggota Batalion 10 PGA di Sarikei pada 1.30 tengah hari ini dan 4,220 karton rokok pelbagai jenis ditemui.

“Serbuan ketiga di sebuah rumah di Sarikei itu juga tidak menemui suspek dan nilai rampasan dianggarkan RM1.9 juta,” katanya.

Beliau berkata, polis percaya rokok itu diseludup melalui dua laluan iaitu laut dan darat di sempadan.

“Rokok putih dipercayai diseludup melalui laut manakala rokok kretek dari negara jiran melalui jalan darat namun siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenalpasti sumber rokok seludup itu.

“Kejayaan dalam dua hari pertama tahun ini membuktikan polis serius menangani aktiviti penyeludupan rokok di negeri ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 January 2020 @ 5:20 PM