KOMANDER PPM Wilayah 2, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang (kiri) menunjukkan 102,500  rokok pelbagai jenama dirampas dalam serbuan di Kawasan Perindustrian Taman Johor.
KOMANDER PPM Wilayah 2, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang (kiri) menunjukkan 102,500 rokok pelbagai jenama dirampas dalam serbuan di Kawasan Perindustrian Taman Johor.
Mohd Sabran Md Sani


UPAH dan rekrut golongan remaja serta belia yang tidak lagi bersekolah sebagai budak suruhan sindiket penyeludupan rokok dari negara jiran.

Itu antara modus operandi sindiket penyeludupan rokok tanpa cukai dari Indonesia dipercayai turut didalangi serpihan Geng Zali yang pernah ditumpaskan polis tahun lalu.

Sumber berkata, sindiket penyeludupan rokok berpangkalan di selatan tanah air masih aktif melakukan kegiatan jenayah itu yang mampu membawa keuntungan berjuta ringgit sebulan.

Menurutnya, margin keuntungan besar diperoleh selain permintaan tinggi dari pengguna tempatan menyebabkan sindiket tidak pernah mengalah walaupun kerap kali rampasan dilakukan.

“Walaupun Geng Zali sudah ditumpaskan namun siasatan polis mendapati kumpulan itu memiliki lebih 30 konco, pemberi maklumat dan tonto di seluruh negara.

“Sindiket ini beroperasi sejak 2017 sebelum berjaya dibongkar Polis Diraja Malaysia (PDRM) Oktober tahun lalu selain rampasan rokok bernilai RM9 juta,” katanya.

TOK Beng Yeow (kanan) menunjukkan rokok yang dirampas dari sebuah lori di kawasan kebun kelapa sawit berhampiran kuari di jalan susur ke Plaza Tol Kulai.
TOK Beng Yeow (kanan) menunjukkan rokok yang dirampas dari sebuah lori di kawasan kebun kelapa sawit berhampiran kuari di jalan susur ke Plaza Tol Kulai.

Terbaru kegiatan itu dibongkar susulan penahanan 10 lelaki tempatan berusia 16 hingga 22 tahun yang didapati terbabit dengan aktiviti penyeludupan rokok tanpa cukai awal bulan lalu.

Semua suspek ditahan ketika memindahkan kotak rokok putih dan keretek dari sebuah lori ke dalam beberapa kenderaan di kawasan kebun kelapa sawit berhampiran kuari di jalan susur ke Plaza Tol Kulai di sini.

Serbuan dibuat sepasukan anggota polis Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai kira-kira jam 9.45 pagi itu susulan daripada risikan polis selama seminggu ke atas kegiatan kumpulan itu.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, hasil serbuan itu, pihaknya menahan 10 lelaki tempatan berusia 16 hingga 22 tahun yang terbabit dalam kegiatan itu.

Katanya, polis menahan semua suspek ketika itu sedang memindahkan kotak-kotak rokok daripada lori seberat tiga hingga empat tan ke dalam dua van.

Sebelum itu sindiket sama dikesan menggunakan van penumpang yang diubah suai untuk menyorok dan memindahkan beribu kotak rokok tidak bercukai.

Sebanyak 205 kotak rokok disembunyikan di dalam van berjaya dirampas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor.

Pada 11 Mei lalu, Pasukan Polis Marin (PPM) Bukit Aman berjaya mematahkan cubaan sindiket menyeludup 11,000 karton rokok putih dianggarkan bernilai RM1.892 juta dalam serbuan di lampu isyarat Bakri Batu 3 di sini.

Difahamkan rangkaian sindiket terbabit menyebabkan kerugian cukai kerajaan puluhan juta ringgit hasil rokok diseludup.

Siasatan sebelum ini mendapati sindiket mengupah dua anggota penguat kuasa yang bertugas di Tampoi dan Pengerang sebagai pemberi maklumat.

Ini bagi membolehkan kapal atau bot yang membawa masuk rokok seludup tidak ditahan pihak berkuasa ketika menghampiri perairan negara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Jun 2019 @ 6:05 AM