Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 11,000 karton rokok seludup dianggarkan bernilai RM1.6 juta termasuk cukai dalam serbuan di satu kawasan semak di Kampung Lundang Paku, Nilam Puri, pagi semalam.

Pegawai Pemerintahnya, Superintendan Mat Shukor Yusof berkata, serbuan pada 3.30 pagi itu dilakukan menerusi Op Kontraban bermula dengan pemerhatian di kawasan Pantai Cahaya Bulan (PCB) sebelum pasukan risikan ternampak kenderaan Proton Exora dan Mitsubishi Pajero dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, pasukan risikan mengekori kedua-dua kenderaan itu sehingga di kawasan Salor Lama, namun mereka menyedari kehadiran pasukan itu dan memecut laju sehingga ke kawasan Lundang Paku, Nilam Puri.

"Kedua-dua kenderaan diekori itu hilang dari pandangan dan lebih kurang setengah jam, pasukan risikan sampai di satu kawasan semak di Kampung Lundang Paku dan menemui ada kesan tayar kenderaan keluar masuk ke kawasan semak berhampiran rumah tidak bernombor.

"Pemeriksaan menjumpai bungkusan plastik berwarna hitam mengandungi 220 kotak rokok berisi 11,000 karton rokok atau 2.2 juta batang rokok putih, manakala kenderaan dipandu suspek tidak dijumpai.

MAT Shukor (kiri) bersama pegawainya menunjukkan rokok seludup yang dirampas pada sidang media, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
MAT Shukor (kiri) bersama pegawainya menunjukkan rokok seludup yang dirampas pada sidang media, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

"Setelah menunggu selama dua jam dan tidak ada pihak datang menuntut semua rokok itu, kami membawa balik semua barang dirampas itu ke Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu untuk tindakan selanjutnya," katanya pada sidang media di Kem Batalion PGA8 Pengkalan Chepa, di sini, hari ini.

Mat Shukor berkata, modus operandi digunakan penyeludup adalah melalui kapal dagang dari Laos dan Vietnam yang kemudiannya melalui Laut China Selatan dan masuk ke perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, dan Johor.

Beliau berkata, pada peringkat awal, pihaknya menjangkakan penyeludup itu menurunkan barang diseludup sama ada di Thailand dan masuk ke Sungai Golok atau mungkin terus ke perairan negara.

"Bagaimanapun, jika dilihat kepada skala bekalan dirampas, rokok ini adalah atas permintaan dan ia bukan hanya untuk pasaran Kelantan sahaja, tetapi mungkin dibawa ke Terengganu, Pahang serta Johor.

"Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 January 2022 @ 11:56 AM