ANGGOTA bomba dalam operasi mencari dan menyelamat Othman Abdul Ghani  yang dikhuatiri lemas di Tasik Gubir. FOTO Noorazura Abdul Rahman.
ANGGOTA bomba dalam operasi mencari dan menyelamat Othman Abdul Ghani yang dikhuatiri lemas di Tasik Gubir. FOTO Noorazura Abdul Rahman.
Noorazura Abdul Rahman


Sik: "Air masuk dalam bot terlalu cepat dan kami tidak sempat mencedok air keluar. Saya terpaksa menyelamatkan diri apabila bot mula tenggelam sedikit demi sedikit," kata Muhammad Khairul Badri Mahyuddin, 28.

Dia menceritakan semula tragedi bot dinaiki karam di Tasik Gubir, di sini, Rabu lalu yang menyebabkan bapa saudaranya, Othman Abdul Ghani, 49, masih hilang.

Katanya, hingga kini dia masih terkilan kerana tidak dapat menarik Othman bersama, kerana ketika itu masing-masing bergelut untuk menyelamatkan diri.

Menurutnya, kejadian berlaku pada 5.50 petang selepas setengah jam mereka berlepas dari pengkalan tasik itu untuk memancing ikan.

"Secara tiba-tiba bot kami terlanggar tunggul kayu menyebabkannya bot bocor dan senget di bahagian belakang serta dimasuki air.

"Saya boleh berenang namun tidak terlalu cekap, manakala bapa saudara tidak tahu berenang. Apabila saya toleh ke belakang (selepas bot mulai tenggelam), tidak nampak bapa saudara langsung dan saya terpaksa terus berenang ke tebing kira-kira 100 meter dari situ," katanya ketika ditemui.

Menurutnya, air tasik terlalu dalam menyebabkan dia sukar mencari bapa saudaranya dan cuba meminta tolong bot nelayan yang lalu berhampiran tetapi gagal disebabkan cuaca gelap.

Katanya, dia menggunakan pemetik api dan berjalan di tebing untuk cari perlindungan, malah usaha penyelamatan segera lebih sukar apabila tiada liputan talian telefon di situ.

"Hanya selepas Subuh keesokkannya, kira-kira 7.30 pagi barulah ternampak bot nelayan lalu dan saya menjerit minta tolong. Merekalah yang bawa saya ke Balai Polis Daerah Sik untuk laporan, manakala nelayan bantu cari bapa saudara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Julai 2022 @ 5:20 PM