Anggota bomba membawa mayat remaja OKU yang ditemukan lemas di dasar Sungai Loji Air Felda Chiku di Gua Musang, hari ini.
Anggota bomba membawa mayat remaja OKU yang ditemukan lemas di dasar Sungai Loji Air Felda Chiku di Gua Musang, hari ini.
Hazira Ahmad Zaidi

Gua Musang: Keterujaan remaja orang kurang upaya (OKU) lembam mandi sungai bersama lima sepupunya ketika pulang bercuti ke rumah neneknya berakhir dengan tragedi apabila ditemukan lemas di Sungai Loji Air Felda Chiku di sini, hari ini.

Mayat Muhammad Hazim Mohd Bakri, 16, yang berasal dari Sungai Udang, Melaka ditemukan anggota bomba pada 1.12 tengah hari ketika menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati mangsa bersama sepupunya iaitu dua lelaki dewasa dan tiga kanak-kanak sedang mandi di sungai berkenaan pada 12 tengah hari.

"Bagaimanapun, mangsa tiba-tiba menjerit meminta tolong dan ia disedari oleh bapa saudaranya yang kemudiannya terjun ke dalam sungai untuk menyelamatkannya tetapi tidak berjaya disebabkan paras air yang dalam serta arus deras.

"Bapa saudara mangsa kemudiannya berenang ke tebing untuk menyelamatkan diri kerana keletihan.

"Pada masa sama, mangsa juga tidak timbul di permukaan air dan bapa saudaranya mengesyaki anak saudaranya itu sudah tenggelam dan terus menghubungi keluarga mangsa serta pihak bomba untuk mendapatkan bantuan," katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, sepasukan anggota bomba dikejarkan ke lokasi sebelum tiga anggota menyelam ke dalam sungai dan menemukannya berada di dasar sungai.

"Selepas pemeriksaan dilakukan didapati ada kesan lebam pada bahagian muka dan dipercayai mangsa terjun ke dalam sungai dan terkena pada batu yang berada di dasar sungai.

"Pada ketika itu, muka mangsa sudah kebiruan selain tidak ada tindak balas dan disahkan sudah meninggal dunia.

"Mayatnya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Gua Musang untuk pemeriksaan dan bedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarga untuk urusan pengebumian," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang, Mohd Arifuddin Akif Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 12.19 tengah hari dan tiba di lokasi pada 1.02 petang.

"Seramai lapan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa lemas.

"Bagaimanpun, mayat mangsa dijumpai kira-kira 10 minit kemudian dan disahkan sudah meninggal dunia oleh pegawai perubatan dan diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan selanjutnya.

"Operasi ditamatkan pada 2.37 petang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 January 2022 @ 10:11 PM