INSIDEN pergaduhan pada Januari lalu. FOTO IHSAN PEMBACA
INSIDEN pergaduhan pada Januari lalu. FOTO IHSAN PEMBACA
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Padah kerana terlibat dengan insiden pergaduhan dalam Liga Bolasepak Terengganu (TFL) Januari lalu, kelab KESA didenda RM20,000 oleh Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT).

Kelab berkenaan juga digantung daripada menyertai mana-mana kejohanan selama dua tahun berkuat kuasa mulai 1 Jun 2024.

Pengerusi TFL, Datuk Marzuki Sulong berkata, seorang pegawai dan enam pemain kelab dari Besut itu juga dikenakan hukuman berat termasuk tidak dibenarkan terlibat dengan sukan nombor satu itu antara enam hingga lapan tahun.

Beliau yang juga Timbalan Presiden PBSNT berkata, keputusan berkenaan diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib PBSNT pada Ahad lalu.

"Hasil mesyuarat PBSNT dua hari lalu memutuskan kelab KESA yang terbabit dengan insiden pergaduhan itu didenda sebanyak RM20,000 dan hendaklah dibayar pada atau sebelum 1 Julai ini berdasarkan Artikel 10(c) dan 54(b).

"Kelab berkenaan juga digantung perlawanan atau pertandingan selama 24 bulan bermula 1 Jun ini atau sehingga denda habis dibayar berdasarkan Artikel 19(1) 19(3) dan 19(5).

"Seorang pegawai pasukan itu pula didenda sebanyak RM5,000 dan hendaklah dibayar pada atau sebelum 1 Julai ini berdasarkan Artikel 10(c) dan 50(2) serta larangan mengambil bahagian dalam mana-mana aktiviti berkaitan dengan bola sepak selama 8 tahun bermula 1 Jun 2024 berdasarkan Artikel 11(f) dan 23).

"Manakala enam pemain pasukan itu yang terlibat dengan insiden pergaduhan itu didenda RM2,000 setiap seorang dan perlu dibayar pada atau sebelum 1 Julai ini berdasarkan Artikel 10(c) dan 50(2).

"Pemain berkenaan juga dilarang mengambil bahagian dalam mana-mana aktiviti berkaitan dengan bola sepak selama enam tahun bermula 1 Jun ini berdasarkan Artikel 11(f) dan 23).

"Kita mengambil serius tindakan yang tidak bertanggungjawab dilakukan oleh pemain dan pegawai pasukan berkenaan, sebab itu hukuman berat dikenakan kepada mereka, pada masa sama kita mengharapkan kejadian memalukan itu tidak lagi berulang," katanya ketika dihubungi.

Terdahulu pada awal Januari lalu dalam saingan TFL, aksi KESA dengan NAG FC di Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak dicemari dengan insiden pergaduhan hingga mengakibatkan seorang pegawai pasukan NAG cedera teruk di bahagian muka sebelum dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2024 @ 4:04 PM