WAN ADIP Hakimi (kanan) menunjukkan gambar Abdul Rafiuddin Abdul Rashid yang dikhuatiri lemas. FOTO Rosli Ilham
WAN ADIP Hakimi (kanan) menunjukkan gambar Abdul Rafiuddin Abdul Rashid yang dikhuatiri lemas. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham


Dungun: "Saya nekad nak menyelamatkan mereka berdua sehinggakan saya lupa saya juga boleh mati dalam kejadian itu," kata Muhammad Aqil Shafie, selepas rakannya tenggelam ke dasar sungai ketika mandi di Sungai Dungun dekat Kampung Rajawali, petang semalam.

Mangsa, Abdul Rafiudin Abdul Rashid, 12, murid Sekolah Kebangsaan Pulau Serai dikhuatiri lemas dalam kejadian kira-kira 6 petang itu.

Muhammad Aqil, 12, berkata, biarpun dia berjaya menyelamatkan Muhammad Qhalish Iman Hazimi, 12, namun dia sangat sedih kerana gagal menyelamatkan mangsa.

"Kami semua rakan sekelas, dan ketika di sekolah, mangsa (Abdul Rafiudin) membuat cadangan kepada kami semua untuk mandi di sungai itu.

"Selain kami bertiga, dua lagi rakan sekelas, Wan Adip Hakimi Wan Ahmad Khairuddin, 12, dan Raja Muhammad Anas Raja Ibrahim, 12, turut sama mandi di situ," katanya.

Katanya, ketika itu, mereka semua mandi di tepi sungai, dan mangsa mengajak kami pergi ke sebuah beting pasir dalam jarak kira-kira 30 meter dari darat.

"Ketika itu, Raja Muhammad Anas tidak ikut dan kami berempat berjalan ke tebing pasir itu kerana air ketika itu sangat cetek.

"Tidak lama bermain di beting pasir itu, kami ambil keputusan untuk balik ke darat dan tidak sangka ketika itu air pasang dengan cepat dengan kedalaman kira-kira empat meter," katanya.

Muhammad Aqil berkata, dalam perjalanan pulang itu, mereka terpaksa berenang dan mangsa (Abdul Rafiuddin) dan Muhammad Qhalish tiba-tiba lemas dan meminta tolong.

"Saya pergi membantu mangsa dan mengarahkan Wan Adip Hakimi membantu Muhammad Qhalish.

"Saya berenang mendapatkan mangsa dan mangsa sempat menekan badan saya ke dalam sungai sebelum menendang sehingga saya hampir lemas," katanya.

Katanya, apabila mengetahui kedua-dua mangsa semakin lemas, dia dan Wan Adip Hakimi mengambil keputusan untuk berenang ke darat dan mengambil pelampung.

"Saya dapatkan sebuah pelampung dari dalam bot nelayan dan saya berenang semula dan sempat melemparkan pelampung itu kepada mangsa dan mangsa sempat pegang sebelum pelampung itu terlepas dari pegangannya.

"Saya berenang mendapatkan pelampung itu semula itu dan bila saya baling ke arah mangsa, dia tak mahu pegang pelampung itu sebelum tenggelam ke dasar sungai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 September 2022 @ 7:55 AM