Gambar Hiasan
Gambar Hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Seramai 10 pelajar senior sebuah kolej vokasional yang direman sebelum ini bagi membantu siasatan kes mencederakan pelajar junior dibebaskan dengan jaminan polis, hari ini.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, suspek berusia 16 hingga 20 tahun itu direman selama dua hari sejak semalam bagi membantu siasatan lanjut.

"Kesemua suspek berkenaan sudah dibebaskan dengan jaminan polis selepas selesai dirakam keterangan.

"Kami kini dalam proses mengemaskini dan menyiapkan kertas siasatan kes itu sebelum dirujuk segera kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk arahan lanjut," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, siasatan awal polis mendapati punca pergaduhan itu disebabkan perselisihan faham kerana mangsa dikatakan tidak menghormati pelajar senior terbabit.

Harian Metro sebelum ini melaporkan polis menahan 10 pelajar kolej terbabit kerana disyaki terbabit dalam kejadian rusuhan pada Sabtu lalu.

Pengadu yang juga ibu mangsa dimaklumkan warden asrama mengatakan anaknya tidak sihat di mana mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur bagi mendapatkan rawatan.

Mangsa memaklumkan dia dipukul beramai-ramai oleh pelajar senior semasa berada di surau asrama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Ogos 2022 @ 3:19 PM