Tujuh pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar yang cuba diseludup menggunakan feri penumpang ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia di Langkawi. FOTO Ihsan APMM
Tujuh pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar yang cuba diseludup menggunakan feri penumpang ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia di Langkawi. FOTO Ihsan APMM
Oleh Hamzah Osman


Langkawi: Cubaan sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) menggunakan feri penumpang menyeludup PATI ke negara ini berjaya dikesan pihak berkuasa yang menjalankan pemantauan.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa, berkata modus operandi terbaharu itu dikesan selepas pihaknya menahan tujuh PATI warga Myanmar kelmarin.

Dalam kejadian pada jam 4.30 petang itu, tujuh PATI berusia antara 22 dan 40 tahun dikesan dihantar tekong darat menaiki feri penumpang dari Langkawi ke Kuala Kedah.

"Pasukan operasi kemudian memintas dan menahan feri penumpang terbabit pada kedudukan 0.4 batu nautika Timur Laut Pulau Dayang Bunting pada jam 4.40 petang.

"Pemeriksaan menemukan tujuh PATI warga Myanmar tidak memiliki dokumen pengenalan diri berada di atas feri sebelum menahan untuk siasatan lanjut," katanya pada sidang media di Pejabat Maritim Malaysia di Bukit Malut di sini, semalam.

Romli berkata, hasil koordinasi maklumat, pasukan operasi di darat menahan seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun dipercayai tekong darat ketika sedang bergerak dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) meninggalkan terminal feri.

"Kejayaan itu membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki berusia 26 tahun, dipercayai rakan kepada tekong darat yang ditahan sebelum itu, selepas cuba memberi suapan kepada pegawai Maritim Malaysia, sehari selepas kejadian.

"Siasatan awal mendapati, setiap PATI membayar antara RM5,000 hingga RM8,000 kepada dalang untuk dibawa masuk ke negara ini," katanya.

Beliau berkata, kesemua PATI yang ditahan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63, manakala dua lelaki tempatan disiasat mengikut Akta Antipemerdangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Jun 2022 @ 2:59 PM