PEMBERITAHUAN penumpang perlu menunjukkan MyKad sebelum memasuki terminal feri bermula 1 Julai ini. FOTO ihsan Ferry Line Ventures Sdn Bhd
PEMBERITAHUAN penumpang perlu menunjukkan MyKad sebelum memasuki terminal feri bermula 1 Julai ini. FOTO ihsan Ferry Line Ventures Sdn Bhd
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Semua penumpang feri dari Kuala Kedah, Kuala Perlis dan Langkawi perlu mengemukakan MyKad sebelum dibenarkan menaiki feri bermula 1 Julai ini bagi mengelakkan kegiatan ulat tiket selain menangani penyeludupan pendatang tanpa izin (Pati).

Pengurus Sumber Manusia dan Operasi Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd, Kapten Baharin Baharom berkata, pihaknya memberi tempoh 1 Julai hingga 31 Julai ini sebagai tempoh mendidik atau percubaan kepada setiap penumpang yang menggunakan perkhidmatan laut itu.

Beliau berkata, bagaimanapun pada 1 Ogos, semua penumpang diwajibkan menunjukkan MyKad bersama tiket masing-masing di terminal feri bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini berlaku.

"Ini juga mengekang kegiatan penyeludupan Pati menaiki feri penumpang seperti yang berlaku di Langkawi baru-baru ini dan dengan adanya sistem baru ini, kita dapat mengesan kegiatan itu.

"Kesesakan tidak akan berlaku ketika pemeriksaan dilakukan kerana kita cuma nak tengok nombor pengesahan MyKad penumpang saja sebelum mereka dibenarkan menaiki feri," katanya ketika dihubungi hari ini.

Baharin berkata, berdasarkan maklumat yang diterima sebelum ini, pihak tidak bertanggungjawab akan membeli tiket lebih awal terutamanya ketika waktu cuti persekolahan dan cuti umum.

"Kita menerima aduan daripada penumpang yang membeli tiket sehala lebih mahal sehingga RM60 seorang sedangkan tiket biasa yang dijual hanyalah pada harga RM18 (Kuala Perlis) manakala RM23 (Kuala Kedah) ke Langkawi.

"Ia sedikit sebanyak menjejaskan pelancong untuk pergi bercuti ke pulau itu," katanya.

Baharin berkata, disebabkan itu operator feri akan menyemak terlebih dulu tiket sebelum menaiki feri bagi memastikan tiket itu adalah nama penumpang yang sama membeli tiket yang sah.

Beliau berkata, bagi pelancong yang datang secara berkumpulan pula, mereka perlu mengemukakan salinan nama serta MyKad sebelum dibenarkan berlepas menaiki feri.

"Pihak kami juga sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa sekiranya ada yang dikesan cuba menyeludup Pati menggunakan perkhidmatan feri," katanya.

Media semalam melaporkan, cubaan sindiket menggunakan feri penumpang untuk menyeludup Pati dikesan pihak berkuasa yang menjalankan pemantauan.

Dalam kejadian pada jam 4.30 petang itu, tujuh Pati berusia antara 22 dan 40 tahun dikesan dihantar tekong darat menaiki feri penumpang dari Langkawi ke Kuala Kedah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Jun 2022 @ 12:14 PM