KAPAL persiaran yang ditahan APMM kerana disyaki beroperasi secara haram di perairan Langkawi. FOTO Ihsan APMM
KAPAL persiaran yang ditahan APMM kerana disyaki beroperasi secara haram di perairan Langkawi. FOTO Ihsan APMM
Hamzah Osman

Langkawi: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan kapal persiaran membawa pelancong melihat pemandangan matahari terbenam di sekitar perairan Langkawi kerana disyaki beroperasi secara haram, kelmarin.

Kapal persiaran itu ditahan di kedudukan 0.1 batu nautika timur laut Pulau Dayang Bunting pada 6 petang.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa, berkata ketika ditahan kapal layar itu membawa tiga kru berusia di antara 31 dan 51 tahun dengan masing-masing seorang warga Thailand dan dua tempatan.

"Kapal persiaran itu dipercayai turut membawa sejumlah pelancong melihat pemandangan matahari terbenam di kawasan berkenaan.

"Kapal itu disyaki beroperasi secara haram selepas gagal mempamerkan lesen bot, tiada juragan dan sijil penumpang tamat tempoh," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Romli berkata, kapal persiaran berserta kru kemudian ditahan dan dibawa ke jeti Maritim Malaysia di Bukit Malut di sini, untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

"Semua pengusaha kapal persiaran perlu mematuhi segala aspek perlesenan, insuran dan keselamatan bagi menjaga keselamatan penumpang kapal," katanya.

APMM menasihatkan pelancong lebih peka untuk memilih pengusaha kapal persiaran yang berdaftar dengan Jabatan Laut Malaysia untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Ogos 2023 @ 3:47 PM